Isnin, 9 Julai 2018 | 3:10pm
KETUA Pegawai Eksekutif DBhd, Brian Iskandar Zulkarim. - Foto Amirudin Sahib

DBhd kenal pasti tiga projek pemangkin aliran tunai

KUALA LUMPUR: Damansara Realty Bhd (DBhd) mengenalpasti tiga projek pemangkin utama di bawah segmen bangunan hartanahnya yang akan memainkan peranan penting dalam menambah baik aliran tunai dan keuntungan kumpulan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Brian Iskandar Zulkarim, berkata projek ialah Central Park, Aliff Square 1 dan 2, dan Damansara Hills.

Beliau berkata, Central Park adalah usaha sama dengan Country Garden bagi pembangunan perbandaran bersepadu di Johor Bharu, manakala Aliff Square 1 dan 2 ialah pembangunan komersial di Tampoi, Johor. Damansara Hills pula adalah pembangunan hartanah di Kuantan, Pahang.

"Tumpuan sekarang ialah kepada pengambilan Central Park, Johor Bahru yang dilancarkan pada 2017.

"Pembangunan Central Park mengikut jadual dengan Fasa 1 sedang berjalan," katanya dalam e-wawancara dengan BH baru-baru ini.

Brian berkata, dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM3.5 bilion untuk tempoh lima tahun akan datang, pembangunan bersepadu itu merangkumi 10,000 unit kediaman, komersial dan kemudahan dijadualkan siap menjelang 2025.

Disasarkan bagi pasaran tempatan, ia ditawarkan pada harga bermula RM200,000.

"Penawaran harga itu bagi menangani ketidaksepadanan bekalan dan permintaan bagi kediaman pada harga berpatutan dan mengelak pasaran segmen mewah yang sukar untuk dijual," katanya.

Beliau berkata, dalam tahun kewangan 2017, cabang pembangunan hartanah DBhd adalah penyumbang terbesar kepada keuntungan dengan RM11.8 juta yang membantu kumpulan mencatat untung bersih RM17.8 juta berbanding kerugian bersih RM27.8 juta tahun lalu.

Dalam suku kewangan pertama 2018, pendapatan segmen pembangunan hartanah katanya berkembang lebih 33 kali kepada RM6.8 juta berbanding RM206,000 sebelumnya, disumbang terutamanya oleh jualan pembangunan Damansara Hills 1 di Kuantan, Pahang dan Aliff Square 2 di Tampoi, Johor.

"Kami memberi tumpuan dalam mempercepatkan projek hartanah yang dapat menambah baik prestasi marjin, aliran tunai dan untung bersih," katanya.

Berita Harian X