Rabu, 11 Julai 2018 | 12:27pm
PENGARAH Projek Laluan SSP Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Amiruddin Ma'aris (tengah) memberi taklimat kerja penggalian terowong di bahagian Selatan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP Line) pertama jajaran bertingkat di Taman Universiti. Turut bersama Pengarah Projek MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP), Param Sivalingam (kanan) dan Pengurus Projek PDP MMC Gamuda KVMRT(PDP SSP) (Pakej V207), Vincent Neng Kha Looi (kiri). - Foto Rosela Ismail

MRT SSP kini 30 peratus siap

SERI KEMBANGAN: Projek Tren Aliran Transit Massa 2 (MRT 2) bagi laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) kini hampir 30 peratus siap pada awal Julai lalu.

Pengarah Projek Laluan SSP Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Amiruddin Ma'aris, berkata berdasarkan kemajuan semasa, projek berkenaan akan dapat diteruskan dengan fasa pembinaan seterusnya mengikut jadual yang ditetapkan.

"Kami sudah memulakan rentangan panjang jejambat sesilang di sepanjang Jalan Kuala Selangor, manakala kerja memasang landasan di laluan utama akan bermula pada Disember ini.

"Dengan kerja pembinaan yang kini berjalan lancar dan cepat di sepanjang bahagian utara jajaran bertingkat, kami yakin akan dapat menyiapkan kerja jejambat pada masanya," katanya pada taklimat media mengenai kemajuan pembinaan MRT SSP, di sini, hari ini.

Kerja pembinaan laluan SSP kini merangkumi bahagian selatan dan Putrajaya bagi jajaran bertingkat MRT Laluan SSP.

Kerja penggalian terowong menggunakan kaedah gerudi dan letupan di bahagian selatan pertama jajaran bertingkat di Taman Universiti juga baru bermula pada Jun 2018.

Bahagian yang melangkaui tanah tinggi di kawasan MARDI adalah satu-satunya bahagian terowong yang digali menggunakan kaedah gerudi dan letupan di sepanjang 38.7 kilometer landasan bertingkat.

Amiruddin berkata, terowong yang menggunakan kaedah gerudi dan letupan adalah landasan berkembar tunggal sepanjang 182 meter.

"Sementara, terowong yang menggunakan kaedah korek dan timbus adalah struktur kotak sel berkembar meliputi kedua-dua belah terowong konkrit berjajar sepanjang 197 meter di sebelah hulu (timur) dan 161 meter di sebelah hilir (barat)," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai usaha pengurangan kos pembinaan MRT2, beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan kajian terperinci dan menganalisa beberapa perkara yang merangkumi pelbagai aspek.

"Kita sedang membuat penelitian dan ia perlu dijalankan secara lebih berhati-hati.

"Ini kerana kita tidak akan berkompromi mengenai beberapa kepentingan aspek, terutama dalam menjaga kualiti dan keselamatan," katanya.

Amiruddin berkata, tiada jangka masa tepat bagi mengadakan kajian itu, tetapi ia akan dijalankan berperingkat serta berterusan.

"Buat masa ini, tiada sebarang angka boleh dinyatakan mengenai penjimatan kos, tetapi kami optimis projek ini tidak melebihi kos yang ditetapkan dan mungkin dapat dikurangkan.

"Kami juga optimis projek MRT2 akan berjaya disiapkan mengikut jadual," katanya.

MRT 2 yang membabitkan kos pembinaan dianggarkan RM32 bilion mula dibina pada 2015 dan dijangka siap pada Julai 2022.

Jajaran ini bakal menghubungkan 35 stesen termasuk 11 stesen bawah tanah, merangkumi laluan keseluruhan sepanjang 52.2 kilometer (km).

Setakat ini, 48 tender sudah dianugerahkan merangkumi semua pakej kerja sivil, stesen dan sistem. Baki 20 tender yang masih diteruskan adalah untuk pembinaan tempat letak kereta bertingkat dan kontraktor/pembekal yang ditetapkan.

Berita Harian X