Rabu, 11 Julai 2018 | 5:30pm
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid. - Foto Aziah Azmee

Paras rizab antarabangsa Malaysia masih selesa

KUALA LUMPUR: Paras rizab antarabangsa masih berada di paras tinggi meskipun jatuh untuk bulan kedua berturut-turut kepada AS$104.7 bilion pada akhir Jun 2018 berbanding AS$108.5 bilion pada akhir Mei 2018.

Kedudukan rizab itu memadai untuk membiayai 7.5 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata penurunan rizab antarabangsa itu adalah sejajar dengan aliran keluar modal asing di dalam pasaran ekuiti dan bon tempatan.

Beliau berkata, meskipun berlaku penurunan, rizab antarabangsa masih melebihi nisbah minimum import tertunggak iaitu tiga bulan, suatu piawaian yang diterima pakai di peringkat global.

"Nisbah semasa adalah 7.5 bulan. Oleh itu, paras rizab ini masih dikira tinggi," katanya kepada NSTP bagi mengulas mengenai kedudukan paras rizab antarabangsa negara yang berkurangan untuk bulan kedua berturut-turut.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB), Suhaimi Ilias, berkata faktor utama yang menjejaskan rizab antarabangsa ialah aliran keluar portfolio modal berterusan yang memperlihatkan jualan bersih asing RM11.6 bilion dalam pasaran ekuiti dan bon pada bulan lalu.

Beliau berkata, pengaliran keluar portfolio modal itu adalah sejajar dengan pengaliran keluar portfolio modal bersih AS$8.0 bilion daripada pasaran baharu muncul pada bulan lalu.

"Jualan bersih asing dalam ekuiti Malaysia pada separuh pertama 2018 berjumlah RM7.0 bilion berbanding belian bersih asing RM10.6 bilion pada tempoh sama 2017 selepas tiga setengah tahun jualan bersih asing RM45.3 bilion antara pertengahan 2013 dan akhir 2016," katanya dalam nota penyelidikan.

Suhaimi berkata, kembalinya semula belian asing bersih dalam pasaran tempatan adalah bergantung kepada kejelasan mengenai ketidaktentuan faktor luaran dan dalaman.

Beliau berkata, risiko perang perdagangan global dan dasar ekonomi domestik akan menjadi petunjuk kepada pelabur asing dalam hala tuju berikutnya.

Bagi pasaran domestik, peserta pasaran akan menunggu pembentangan Bajet 2019 oleh kerajaan semasa pada 2 November ini.

Komponen utama rizab antarabangsa pada akhir bulan lalu itu terdiri daripada rizab mata wang asing (AS$98.3 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$900 juta), Peruntukan Hak Pengeluaran Khas (SDR AS$1.2 bilion), emas (AS$1.5 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.8 bilion).

Aset itu termasuk emas dan pertukaran asing, termasuk SDR (RM423.38 bilion), kertas Kerajaan Malaysia (RM4.39 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM202.27 juta), pinjaman dan pendahuluan (RM7.25 bilion), tanah dan bangunan (RM4.17 bilion) dan aset lain (RM9.95 bilion).

Berita Harian X