Jumaat, 13 Julai 2018 | 6:35pm
KETUA Pegawai Eksekutif Tekun Nasional, Datuk Baharom Embi . - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Ar Rahnu TEKUN sasar jualan RM500,000 produk emas

KUALA LUMPUR: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) melalui Ar Rahnu TEKUN menyasarkan jualan minimum kira-kira RM500,000 bagi kerjasama perniagaan dengan Public Gold Group menjelang hujung tahun ini. 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Baharom Embi, berkata kerjasama itu akan menyaksikan Ar Rahnu TEKUN menjual, memajak dan membeli balik produk emas fizikal daripada Public Gold Group iaitu syarikat perdagangan emas fizikal di Malaysia.  

"Kami yakin mampu untuk mencapai jumlah disasarkan itu berdasarkan sambutan terhadap produk emas pada ketika ini dan kualiti produk emas yang ditawarkan Public Gold ," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara TEKUN Nasional dan Public Gold Group di sini, hari ini.

Melalui kerjasama itu, orang ramai boleh membeli semua jenis produk Public Gold patuh syariah bermula daripada jongkong emas 0.5 hingga 250 gram dan 0.5 gram hingga 10 kepingan Dinar daripada semua cawangan Ar Rahnu TEKUN.  

Baharom berkata, objektif kerjasama itu adalah untuk memberikan pendedahan mengenai perkara berkaitan pelaburan dan pembelian emas menguntungkan dalam jangka masa panjang.  

"Kerjasama ini juga akan membolehkan Ar Rahnu TEKUN meluaskan cabang perniagaannya serta membantu lebih ramai usahawan dalam memiliki emas dan membuat gadaian emas sebagai jaminan bagi mendapatkan pembiayaan dengan lebih bernilai, cepat dan mudah," katanya. 

Pengerusi Eksekutif Public Gold Group, Datuk Wira Louis Ng Chun Hou, berkata kerjasama antara kedua pihak itu dilihat saling memberi manfaat dengan syarikat boleh mempelbagaikan lagi saluran pengedaran produk Public Gold, manakala Ar Rahnu TEKUN dapat memasarkan produk emas fizikal kepada orang ramai.  

"Emas sudah lama menjadi instrumen simpanan kekayaan terbaik di dunia dan oleh itu, kami melihat keperluan untuk mewujudkan lebih banyak saluran pengeluaran bagi keselesaan orang ramai, sekali gus menggalakkan mereka untuk menyimpan emas fizikal demi jaminan masa depan, " katanya.  

Sehingga kini, Ar Rahnu TEKUN memiliki lapan cawangan dengan empat cawangan di kawasan Lembah Klang iaitu di Sentul, Wangsa Maju, Semenyih dan Shah Alam, manakala cawangan lain terletak di Alor Setar, Kota Bharu, Tawau dan Johor Bahru.

Berita Harian X