Selasa, 17 Julai 2018 | 1:49pm
DATUK Mohd Razali Hussain.- Foto fail NSTP

Perundingan awam cerminkan ketelusan dan kebertanggungjawaban

KUALA LUMPUR: Sejajar dengan inisiatif peningkatan produktiviti negara, perundingan awam menjadi teras dalam pembangunan dan pelaksanaan peraturan yang baik.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Mohd Razali Hussain, berkata bagi memastikan ekonomi Malaysia lebih berdaya saing, perundingan awam perlu bagi membolehkan pihak berkuasa membabitkan pihak berkepentingan dan orang awam dalam keputusan dasar.

Beliau berkata, ia sekaligus mencerminkan komitmen kerajaan terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban.

"Cabaran yang dihadapi kini dalam mentadbir dan mengawal selia semakin sukar, terutamanya dalam ekonomi digital dan revolusi Industri 4.0.

"Lantaran itu MPC membangunkan garis panduan mengenai prosedur perundingan awam sebagai rujukan kepada kementerian dan agensi dalam melaksanakan perundingan awam.

"Garis panduan itu mentakrifkan peranan pihak berkepentingan yang terbabit dalam proses perundingan dan juga memberi orang ramai pemahaman yang lebih baik jika proses itu terbabit dalam membangunkan peraturan-peraturan yang akan memberi kesan kepada mereka," katanya selepas Bengkel APEC Mengenai Semakan Semula Perundingan Awam di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Norazman Ayob.

Razali berkata, negara perdagangan dan ekonomi maju melalui organisasi seperti Bank Dunia dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menggalakkan pembabitan semua dalam ekonomi sesebuah negara.

Katanya, ia bagi memastikan keputusan dasar dan undang-undang bukan sahaja menangani keperluan penduduk umum, tetapi untuk memastikan kos menjalankan perniagaan tetap berdaya saing.

Berita Harian X