Rabu, 18 Julai 2018 | 9:26am

Rejim cukai SST lebih memanfaatkan pengguna

KUALA LUMPUR: Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijangka lebih memanfaatkan dan kurang membebankan pengguna berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), jika skop percukaian itu tidak diperluaskan, kata ahli ekonomi.

Namun begitu, kata mereka, regim percukaian GST adalah lebih baik berbanding SST dari segi keberkesanan dan kecekapan pelaksanaannya.

Ketua Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata SST, yang akan diperkenalkan semula pada 1 September depan, adalah cukai satu peringkat, yang dikenakan hanya pada peringkat pengeluar.

Tidak seperti GST, jelas beliau, yang mana adalah cukai pelbagai peringkat dan turut dicaj di peringkat pemborong, peruncit dan pengguna.

Dengan mengambil cukai ke atas restoran, Dass berkata, SST hanya dicukai kepada restoran yang pendapatan tahunan mencecah RM1 juta dan ke atas (berdasarkan had ambang SST sebelum ini) berbanding GST yang dikenakan kepada RM500,000 ke atas.

"Ini menunjukkan semakin kurang restoran yang akan dikenakan cukai menerusi SST berbanding GST," katanya kepada NSTP ketika ditanya mengenai perbezaan di antara sistem cukai SST dan GST.

Mengulas lanjut Anthony berkata, GST turut dikenakan kepada sewa untuk hartanah komersil berbanding SST sebelum ini yang tidak mengenakan cukai sedemikian, melainkan skopnya diperluaskan selepas ini.

Begitu juga dengan barangan pengguna seperti tiket wayang atau konsert, gajet elektronik, produk penjagaan kulit, kosmetik dan pakaian yang tidak dicukai di bawah rejim SST lama.

"Bagaimanapun, harga kereta akan menjadi dua, tiga peratus lebih tinggi dengan SST berbanding GST.

"Harga rumah baharu pula akan menjadi lebih murah kerana perkhidmatan pembinaan dan bahan binaan tidak dikenakan SST," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi dan Pengarah Projek Khas Universiti Kuala Lumpur, Prof Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid turut sependapat mengatakan SST adalah lebih baik untuk pengguna berbanding GST biarpun ia tidak menguntungkan kerajaan dari segi pungutan cukai.

"Namun apa yang lebih penting ialah penguatkuasaan yang dilakukan mesti berkesan dan mengelakkan kelompongan daripada pelaksanaan SST terdahulu.

"SST menyebabkan pungutan cukai menjadi lebih kurang untuk kerajaan, tetapi dengan dasar yang lebih efektif dan mesra perniagaan dalam jangka panjang, ia seharusnya meningkatkan kadar pungutan menerusi kitaran perniagaan yang lebih besar," katanya.

Bagi Penganalisis Ekonomi dan Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, nadanya sedikit berbeza apabila berpendapat pelaksanaan cukai seperti SST dan GST tidak perlu kerana ia membebankan rakyat.

Katanya, cukai sedemikian juga tidak perlu sekiranya kerajaan mempunyai pendapatan yang mencukupi sama ada dari cukai pendapatan individu dan korporat, tarif, duti, dividen dan sebagainya bagi menampung perbelanjaan operasi dan pembangunan tahunan.

"Dalam jangka panjang, kerajaan seharusnya fokus kepada pengurusan perbelanjaan dengan mengurangkan hutang dan menghalang bank komersil dari terus mencipta hutang yang membawa kepada inflasi dan kos sara hidup yang lebih tinggi," katanya.

Dari segi pungutan cukai, Ahmed Razman menjelaskan GST membolehkan kerajaan memungut cukai lebih pantas malahan di peringkat pengeluar, namun SST hanya boleh dikutip apabila perkhidmatan atau produk diterima oleh pelanggan.

Berita Harian X