Selasa, 24 Julai 2018 | 2:49pm

Malaysia Airlines tinjau pembiayaan beli Boeing 737 MAX

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd mengemukakan permohonan kepada beberapa bank untuk membiayai sembilan pesawat Boeing 737 MAX, sekali gus menjadi pembiayaan pesawat pertama syarikat penerbangan nasional itu sejak penstrukturan semulanya lebih tiga tahun lalu, kata sumber yang rapat dengan perkembangan itu.

Menurut sumber, pembiayaan itu dilihat sebagai percubaan penting Malaysia Airlines untuk mengukuhkan lagi operasinya selepas diambil alih Khazanah Nasional pada Disember 2014, beberapa bulan selepas insiden MH17 dan kehilangan MH370.

Sumber industri kewangan pula berkata, beberapa bank dari Malaysia, Eropah dan China dijangka bersaing untuk pembiayaan itu selepas Malaysia Airlines menghantar cadangan permohonan beberapa minggu lalu.

Pesawat berkenaan dikatakan berharga sekitar AS$1 bilion, namun syarikat penerbangan kebiasaannya mendapat potongan harga yang besar daripada pengeluar.

Malaysia Airlines berkata pihaknya sedang mempertimbangkan pelbagai pilihan pembiayaan dan pajakan bagi pesanan 737 MAX yang bertujuan bagi menggantikan pajakan pesawat 737, namun enggan memberi butiran yang lebih lanjut.

Khazanah pula tidak memberikan sebarang maklum balas segera kepada perkembangan itu.

Meskipun persekitaran pembiayaan penerbangan kekal kukuh, sumber berkata prestasi operasi Malaysia Airlines yang tidak memberangsangkan dan pengurangan pembiayaan oleh bank serta pemberi pajakan ke atas pajakan kewangan serta operasinya semasa penstrukturan semula syarikat penerbangan itu akan membuatkan bank berhati-hati dengan perjanjian pembiayaan bersamanya.

Bank juga mungkin berpandukan kepada proses pemulihan selepas pemberhentian pekerja, pertukaran kepimpinan serta pelarasan laluan yang dilakukan sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan lima tahunnya.

"Cara mereka menguruskan penyusunan semula dan memberi tekanan ke atas bank, itu sesuatu yang tidak dilupakan oleh bank. Tidak ada tanda-tanda konkrit untuk pemulihan," kata seorang sumber.

Sumber berkata, permintaan bagi cadangan adalah untuk pesawat yang ditanggung oleh Malaysia Airlines dalam tempoh beberapa tahun akan datang di bawah pajakan kewangan.

Syarikat penerbangan sering meminta pembiayaan dari bank bagi membiayai pesawat mereka dalam penjualan dan penyusunan pajakan balik.

Malaysia Airlines telah mengambil pajakan operasi untuk pesawat badan lebar sejak penstrukturan semulanya, namun ini kali pertama ia mencari pembiayaan dengan pemberi pinjaman, kata sumber.

Malaysia Airlines mempunyai tempahan 25 pesawat 737 MAX dengan Boeing.

Sumber berkata, institusi kewangan Jepun yang menjadi penyokong kuat syarikat penerbangan itu, mungkin tidak mengambil bahagian kerana kekangan yang berkaitan dengan kerugian yang dialaminya beberapa tahun ini.

Malaysia Airlines bulan lalu berkata prestasinya kurang memberangsangkan berbanding sasaran kewangan 2017 dan sedang bersedia menghadapi tahun yang sukar kerana persaingan, turun naik kadar pertukaran dan kenaikan harga minyak.

Ia menjangkakan prestasinya akan kembali lebih baik tahun ini dan mensasarkan keuntungan yang mampan pada tahun 2019.

Syarikat penerbangan itu juga bergelut di bahagian pengurusan kanan dengan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew meletakkan jawatan tahun lalu hanya selepas setahun lebih memegang jawatan itu.

Konflik kepimpinannya diteruskan lagi dengan perletakan jawatan Christoph Mueller sebelum kontraknya berakhir dan memaksa eksekutif kanan syarikat penerbangan itu, Kapten Izham Ismail mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif.

Sumber berkata, lebihan kapasiti dalam pasaran utama dan persaingan agresif dari syarikat penerbangan lain seperti AirAsia Bhd dan Singapore Airlines Ltd bersama dengan kenaikan harga minyak juga turut menghalang pelan pemulihan Malaysia Airlines. -Reuters

Berita Harian X