Selasa, 24 Julai 2018 | 6:24pm

Projek LRT3 masih di persimpangan

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) masih dalam persimpangan kerana kerajaan masih belum memberikan penjelasan secara rasmi kepada rakan pelaksana projek (PDP), MRCB George Kent Sdn Bhd (MRCBGK) berhubung peranan baharunya, demikian menurut sumber.

Sumber berkata, sejak Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan projek LRT3 akan dikaji semula, MRCBGK tidak boleh memberi apa-apa kenyataan.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini melaporkan beberapa kontraktor projek pengangkutan awam itu menghantar notis kepada MRCBGK yang menuntut kos tambahan yang meningkat berikutan perubahan terhadap reka bentuk dan jadual penyerahan projek.

Sumber mengesahkan kepada NSTP bahawa ia telah menerima notis tuntutan yang dihantar kepada Prasarana Malaysia Bhd dan MRCBGK.

"Kontraktor ada memberikan notis kepada Prasarana dan MRCBGK. Hanya Kementerian Kewangan dan Prasarana yang boleh mengeluarkan kenyataan (mengenainya)," katanya.

MRCBGK adalah syarikat usaha sama antara Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dan George Kent (M) Bhd yang dilantik oleh Prasarana bagi mengendalikan projek LRT3.

Laporan akhbar berbahasa Inggeris itu berkata, notis paling lantang dikeluarkan oleh konsortium CRRC Zhuzhou Locomotive Co Ltd-Siemens Ltd China-Tegap Dinamik yang dianugerahkan pakej kerja bernilai RM1.2 bilion untuk menyediakan set kereta api bagi projek LRT3.

Dalam surat kepada PDP pada 12 Julai lalu, konsortium itu menyatakan terkejut dan kecewa dengan penggantungan perintah kerja yang dikeluarkan dan menegaskan bahawa ada terdapat kos tambahan susulan perintah penangguhan kerja.

Konsortium itu juga menyatakan bahawa sebarang perubahan dalam konfigurasi kereta api akan memberi impak besar kepada keseluruhan projek dari segi kos dan prestasi teknikal set kereta api.

"Kontraktor itu menyarankan Prasarana Malaysia Bhd dan PDP menilai secara menyeluruh kos pampasan susulan perubahan jadual penyerahan dan reka bentuk projek," kata akhbar itu memetik sumber.

Projek LRT3 terhenti pada jarak 37 kilometer pada awal bulan ini selepas Kementerian Kewangan mendedahkan bahawa kos sebenar projek itu meningkat kepada RM31.65 bilion.

Ia berdasarkan kos yang dinyatakan oleh Prasarana, pemilik projek berkenaan.

Pada 10 Julai lalu, Kementerian Kewangan berkata Prasarana perlu mengurangkan kos secara drastik jika mahu projek itu diteruskan.

Dua hari kemudian, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa selepas rundingan menyeluruh dan rasionalisasi dijalankan dengan semua pemegang berkepentingan, termasuk Prasarana dan MRCBGK, kos LRT3 ditetapkan pada RM16.63 bilion.

Ketika projek LRT3 mula diumumkan pada Bajet 2016, kosnya dianggarkan pada RM10 bilion.

Sehingga 9 Mei, pakej kerja bernilai RM15 bilion sudah dianugerahkan dan banyak kontraktor membuat tempahan bahan berdasarkan spesifikasi yang diperlukan.

Antara perubahan utama kepada reka bentuk projek LRT3 adalah mengurangkan 42 set enam gerabak kepada 22 set tiga gerabak, memansuhkan lima stesen, membatalkan sebuah terowong bawah tanah dan melanjutkan tempoh penyerahan projek dari 2020 kepada 2024.

Kontraktor pakej kerja awam utama ialah Mudajaya Group Bhd, Sunway Construction Group Bhd, WCT Holdings Bhd dan Gabungan AQRS Bhd.

Kerja membabitkan sistem termasuk set kereta api kebanyakannya dari China seperti CRRC Zhuzhou, China Machinery Engineering Corp, CMC Group dan ZTE Corp.

Berita Harian X