Rabu, 25 Julai 2018 | 7:56pm
SHAMSUL Iskandar Mohd Akin. - Foto NSTP

Malaysia sedia kerjasama dengan EU isu minyak sawit

PUTRAJAYA: Malaysia bersikap terbuka dan bersedia bekerjasama dengan negara-negara Eropah dalam mewujudkan kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan pengguna berhubung pengeluaran minyak sawit mampan dan manfaat kesihatan minyak sawit, kata Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin

Shamsul Iskandar berkata, kerjasama yang lebih baik antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) berhubung isu pengeluaran minyak sawit boleh membawa manfaat lebih besar dalam jangka panjang kepada semua pihak terbabit.

"Malaysia percaya bahawa, penyelesaian terbaik adalah bekerja bersama untuk mempromosikan pertumbuhan yang inklusif," katanya dalam satu kenyataan hari ini, merujuk kepada kenyataan Duta Besar Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche, bahawa pendapat awam terhadap minyak sawit di EU masih negatif disebabkan oleh kebimbangan terhadap perubahan iklim, perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan kepelbagaian bio.

Laplanche minggu lalu mencadangkan bahawa Malaysia dan EU meningkatkan kerjasama dalam mencari penyelesaian terhadap persepsi awam dan sentimen negatif yang menyelubungi minyak sawit disebabkan oleh isu penebangan hutan.

Shamsul Iskandar berkata, Malaysia akan meminta Laplanche dan keseluruhan komuniti EU di Malaysia untuk berterusan bekerja bersama Kementerian Industri Utama untuk memberi maklumat lebih baik kepada pengkritik industri minyak sawit.

Beliau menambah bahawa, Malaysia sentiasa sedar terhadap kempen berkenaan yang secara konsisten bertujuan untuk mencemar nama baik penanaman kelapa sawit apabila mengaitkannya dengan penebangan hutan, kehilangan kepelbagaian bio dan kemusnahan habitat kritikal spesies terancam.

Malaysia sudah melaksanakan amalan terbaik termasuk penilaian kesan alam sekitar dalam mewujudkan dan mengendalikan ladang kelapa sawit serta melaksanakan konsep Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 yang menyeimbangkan pembangunan sosial dan ekonomi dengan alam sekitar.

"Bagaimanapun, tindakan ini dilihat masih tidak mencukupi pada kaca mata pengguna dan penggubal undang-undang EU yang sentiasa memberikan mesej antiminyak sawit tanpa mengesahkan fakta asas mengenainya," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X