Selasa, 31 Julai 2018 | 12:17pm
DUTA Belgium ke Malaysia, Daniel Dargent. - Foto BERNAMA

Tubuh misi tangani serangan terhadap industri minyak sawit

KUALA LUMPUR: Dalam usaha memperkukuh pelbagai pembabitan antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU), khususnya bagi mencari penyelesaian lebih baik berhubung industri minyak sawit, satu misi spesifik ke EU perlu ditubuh bagi membantu menyelesaikan pelbagai cabaran yang dihadapi industri minyak sawit Malaysia.

Duta Belgium ke Malaysia, Daniel Dargent, yang mencetuskan idea penubuhan misi itu berkata, memiliki kedutaan khusus di kesatuan politik dan ekonomi 28 negara anggota EU, yang terletak khususnya di Eropah, dijangka mampu memainkan peranan penting untuk Belgium mahupun Malaysia.

"Saya fikir ia akan menjadi satu langkah yang bijak untuk negara ini membuka sebuah kedutaan yang bertanggungjawab secara khusus untuk EU, seperti yang EU ada di Malaysia, ketika ini.

"EU adalah satu badan rasmi dan terdapat banyak kedutaan yang dikhususkan untuk EU. Justeru, ia adalah langkah terbaik untuk menubuhkan satu misi dalam usaha memudahkan lebih banyak kaitan dan hubungan langsung dengan rakan sejawat EU (bukan hanya dalam kalangan kementerian luar) bagi tujuan pertukaran dan peningkatan kemajuan," katanya kepada Bernama.

Tambahan pula dengan kerajaan baharu Malaysia, beliau berkata lebih banyak kesan dan perbincangan positif boleh dijayakan bagi memperoleh lebih banyak konsensus dalam isu berkaitan minyak sawit.

"Semua perkara sepatutnya bergerak ke arah yang betul pada bulan-bulan mendatang dengan kerajaan baharu ini. Mereka terbuka dan positif untuk menjalin kerjasama dengan EU," katanya.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Perusahaan Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata Malaysia terbuka dan sanggup bekerjasama dengan negara Eropah dalam mewujudkan kesedaran pengguna yang lebih tinggi berkaitan pengeluaran minyak sawit lestari dan manfaat kesihatannya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche, dalam satu temu bual dengan Bernama, yang menyatakan bahawa pendapat umum berhubung minyak sawit di EU masih negatif disebabkan kebimbangan terhadap perubahan iklim, perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti.

Shamsul Iskandar berkata, Malaysia berhasrat meminta Laplanche dan semua komuniti diplomatik EU di Malaysia untuk terus menjalin kerjasama dengan Kementerian Perusahaan Utama bagi membolehkan pengkritik mendapat maklumat lebih tepat mengenai industri minyak sawit.

Mengulas pendapat umum EU yang negatif berkaitan perubahan iklim dan aspek alam sekitar, Dargent berkata Malaysia mempunyai amalannya sendiri dalam menangani perkara itu.

"Saya fikir isu membabitkan alam sekitar adalah satu persoalan global yang menyaksikan setiap negara terbabit memiliki cara tersendiri untuk melindungi planet ini dan isu biodiversiti di negara masing-masing.

"Secara peribadi, saya berpendapat dengan kerajaan baharu Malaysia hari ini, lebih banyak perbincangan dan pendekatan dapat dilakukan," katanya.

Pada Januari, Parlimen Eropah mengundi untuk menyokong satu draf undang-undang berkaitan tenaga boleh diperbaharui yang menggesa supaya penggunaan minyak sawit dalam biobahan api diharamkan mulai 2021, satu keputusan yang mampu menjejaskan berjuta-juta penanam kelapa sawit di Malaysia, Indonesia dan Thailand.

EU memberi alasan bahawa penggunaan berleluasa komoditi itu akan menjejaskan hasrat Eropah untuk menghijaukan sektor pengangkutannya jika ia digunakan sebagai biodiesel.

Baru-baru ini, industri minyak sawit Malaysia lega seketika apabila EU melembutkan pendiriannya berhubung penggunaan minyak sawit dalam kalangan negara anggotanya dengan tidak menyebut mengenai komoditi itu dalam Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui yang dikemas kini oleh kesatuan berkenaan.

Langkah itu diambil selepas satu persetujuan berhubung perkara tersebut dicapai semasa "trilogue" membabitkan Parlimen EU, Majlis Eropah dan Suruhanjaya Eropah pada 14 Jun.

Menurut kertas cadangan sebelum ini, pengharaman biobahan api minyak sawit menjelang 2021 akan dimasukkan ke dalam arahan itu.

Komoditi itu ialah eksport teratas Malaysia ke EU, mewakili 49 peratus daripada import rantau ini.

-BERNAMA

Berita Harian X