Rabu, 1 Ogos 2018 | 3:59pm
PEMANGKU Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Razif Abdul Aziz. -Foto Eizairi Shamsudin

Cradle Fund sasar pelaburan dalam 30 pemula niaga

KUALA LUMPUR: Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) menyasarkan untuk melabur dalam lebih 30 syarikat pemula niaga atau "startup" menjelang hujung tahun ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Razif Abdul Aziz, berkata jika Cradle Fund berpeluang untuk mendapatkan sumber dana yang lebih besar, lebih banyak syarikat pemula niaga dapat diwujudkan.

Beliau berkata, Cradle Fund berada dalam industri sejak 15 tahun lalu dan terus menjadi perhatian dari mereka yang berminat untuk membina syarikat pemula niaga.

"Sekiranya berlaku sesuatu dalam pasaran, operasi Cradle Fund masih seperti biasa dan tiada apa yang dapat mengubah apa yang kami fokuskan.

"Kami juga optimis untuk melabur dalam lebih 30 syarikat pemula niaga tempatan pada tahun ini. Malah, sesi taklimat bersama Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) mendapat reaksi positif apabila mereka menyatakan sokongan dan kami komited dalam melaksanakan tugas ini," katanya ketika ditemui selepas pertemuan bersama MPK di sini, hari ini

Cradle Fund menyumbang RM3.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tempoh 2008-2016 selain mewujudkan 80,600 pekerjaan sepenuh masa dalam tempoh sama.

Sejak diperkenalkan pada 2003, ia membantu lebih 800 individu dan syarikat permulaan tempatan selain mencatat kadar pengkomersialan tertinggi dalam kalangan geran yang diberikan kerajaan.

Razif berkata, pihaknya juga berharap sektor swasta akan turut mengambil bahagian dan melabur dalam ekosistem syarikat pemula niaga memandangkan dana yang diterima daripada kerajaan semakin berkurangan.

Menurutnya, bajet tahunan yang diberikan juga semakin berkurangan namun pihaknya sudah menjangkakan senario berkenaan akan berlaku.

"Kerajaan hanya menjadi pemangkin kepada permulaan bagi dana ini, dan sudah tiba masanya sektor swasta dan korporat untuk mengambil peranan ini dan menyuntik dana bagi menyokong sektor ini," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, dana swasta menunjukan prestasi aliran masuk yang stabil dalam tempoh enam tahun ini berikutan minat terhadap syarikat pemula tempatan.

"Dana swasta datang dari rantau ini dan secara jelas mereka meninjau syarikat pemula Malaysia yang berpotensi tinggi. Jadi, kami percaya Cradle Fund dapat menarik kehadiran dua kali ganda atau lebih lagi dana swasta ini berbanding dengan apa yang dimiliki ketika ini," katanya.

Berita Harian X