Rabu, 1 Ogos 2018 | 5:36pm
KETUA Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus (tengah) berbual bersama Pengarah TP Concept Sdn Bhd, Datuk Yong Wen Kian (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Cytron Technologies Sdn Bhd, Tan Eng Tong ketika hadir pada program jelajah tahunan 'Road2Growth' ke-4 di Seberang Perai, hari ini. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

MTDC sasar 50 syarikat capai industri 4.0

SEBERANG PERAI: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menyasarkan sebanyak 50 syarikat tempatan berjaya mencapai standard Industri 4.0, iaitu penggunaan automasi dan teknologi maju di Malaysia menjelang tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata sasaran terbabit boleh dicapai untuk peringkat permulaan kerana pada masa ini terdapat 24 syarikat telah berkembang dan dilabel dengan standard Industri 4.0.

"Banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih dalam Industri 3.0 atau lebih rendah, di mana banyak operasi mereka masih manual atau bergantung pada mesin yang diimport dari negara lain, dan berhadapan dengan perbelanjaan yang tinggi.

"Kebanyakan PKS mempunyai produktiviti yang tinggi, tetapi rendah dalam aspek kecekapan," katanya ketika berucap dalam program jelajah tahunan 'Road2Growth' ke-4 di sini, hari ini.

Beliau berkata, untuk PKS kekal relevan dan berkembang maju di pasaran, mereka perlu mengadaptasi dan menyesuaikan diri dengan kehadiran Industri 4.0 di Malaysia.

"Industri 4.0 bukan sahaja mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan, menghapuskan pembaziran, mengurangkan kos, meningkatkan kecekapan, tetapi juga meningkatkan asas pelanggan dan berjaya berhadapan dengan persaingan," katanya.

Norhalim berkata, PKS dengan kemajuan teknologi berterusan berpeluang besar untuk bersaing di pasaran ASEAN, terutama selepas 10 tahun.

Beliau turut mencadangkan PKS bekerjasama dengan penyelidik di universiti kerana banyak PKS tidak mempunyai kapasiti untuk pembangunan teknologi.

Katanya, dua isu utama kurangnya kerjasama antara PKS dan institusi adalah kerana faktor istilah bahasa dan perbezaan latar belakang kedua-dua pihak.

"Isu-isu ini akan dapat diselesaikan dengan mudah melalui perantara yang berupaya memperhebatkan hubungan dengan universiti, asalkan PKS memiliki kemahuan tinggi untuk berkolaborasi dan mengembangkan industri mereka," katanya.

Sesi 'Road2Growth' untuk wilayah pantai timur bakal diadakan di Kuantan bulan ini, diikuti Johor untuk wilayah Selatan, Sabah dan Sarawak.

MTDC adalah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd yang telah memainkan peranan utama dalam pengkomersialan dan pengurusan dana pembiayaan kerajaan sejak Rancangan Malaysia Ketujuh. - BERNAMA

Berita Harian X