Jumaat, 3 Ogos 2018 | 10:05am
SYARIKAT penerbangan seluruh dunia menaikkan tambang untuk membantu menyerap kenaikan kos bahan api. - Foto hiasan

Harga tiket penerbangan dijangka dinaikkan

KUALA LUMPUR: Dua syarikat penerbangan terbesar negara dijangka akan menaikkan tambang disebabkan oleh peningkatan harga minyak yang menambah kos, kata penganalisis.

Syarikat penerbangan seluruh dunia menaikkan tambang untuk membantu menyerap kenaikan kos bahan api, memandangkan harga minyak melonjak 40 peratus kepada AS$73 setong sejak setahun lalu, kata mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Crucial Perspective, Corrine Png menjangkakan Malaysia Airlines dan AirAsia Group Bhd, khususnya akan menaikkan tambang dalam tempoh terdekat ini.

Crucial Perspective ialah firma penyelidikan ekuiti pengangkutan Asia.

"Sudah pasti syarikat penerbangan perlu menaikkan tambang untuk memindahkan kos bahan api lebih tinggi kepada pelanggan memandangkan harga bahan api pesawat meningkat sebanyak 33 peratus tahun ini," katanya sambil menambah jika tidak berbuat demikian, risiko keuntungan AirAsia akan susut mendadak manakala kerugian Malaysia Airlines akan bertambah.

Png berkata, secara idealnya, AirAsia dan Malaysia Airlines dijangka menaikkan tambang sekurang-kurangnya 10 peratus.

Katanya, kebanyakan syarikat penerbangan Asia Pasifik dijangka menaikkan tambang berikutan tahap lindung nilai bahan api yang terhad tahun ini.

"Namun, kemampuan untuk melaksanakannya secara berkesan akan bergantung kepada permintaan dan bekalan industri, selain bagaimana syarikat penerbangan pesaing lain bertindak," katanya kepada NSTP.

Png berkata, AirAsia dan Malaysia Airlines akan 'menguji' terlebih dulu dengan menaikkan purata tambang masing-masing sebanyak lima peratus atau melaksanakan surcaj bahan api sebagai item berasingan.

"Syarikat penerbangan akan kehilangan sebahagian daripada trafik pelancongan yang sensitif ke atas harga, namun kami tidak menjangkakan trafik berkaitan perniagaan akan terjejas," katanya.

Beliau menambah, adalah lebih pragmatik bagi AirAsia dan Malaysia Airlines menyusun kapasiti pada masa hadapan memandangkan kos pulang modal masing-masing telah bertambah.

Sementara itu, semasa dihubungi, AirAsia berkata ia akan menyemak tambang berdasarkan beberapa faktor termasuk harga minyak.

"Kami telah membina daya tahan yang tinggi di dalam perniagaan dengan menjadi sangat berdisiplin dari segi kos bukan bahan api dan yakin mempunyai kemampuan mencukupi untuk menangani sebarang perubahan harga minyak," kata seorang jurucakapnya.

Malaysia Airlines tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan kenyataan segera.

Anak syarikat tambang rendah Singapore Airlines Ltd, Scoot semalam mengumumkan akan menaikkan tambang secara purata lima peratus berikutan lonjakan harga bahan api.

Kenaikan itu, yang berkuat kuasa 1 September ini akan menambah antara S$5 hingga S$30 (RM14.91 hingga RM89.46) kepada kos setiap perjalanan sehala bergantung kepada tempoh penerbangan, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Pengasas Endau Analytics, Shukor Yusof bersetuju bahawa kenaikan tambang Malaysia Airlines dan AirAsia tidak dapat dielakkan lagi.

Endau Analytics adalah firma penasihat penerbangan berpangkalan di Malaysia.

"Ia bergantung kepada destinasi, sama ada domestik, serantau atau antarabangsa. Tidak banyak kelonggaran bagi syarikat penerbangan, tidak kira sama ada tambang rendah atau khidmat penuh," katanya ditanya mengenai jumlah kenaikan yang berpotensi berlaku.

Beliau berkata, kenaikan tambang tidak akan menjejaskan rangkaian syarikat penerbangan dan membantutkan minat orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan itu.

Namun, beliau memberikan amaran kenaikan berterusan harga minyak akan menjejaskan teruk kewangan syarikat penerbangan.

Berita Harian X