X
Rabu, 8 Ogos 2018 | 8:31am
 DR Mohd Afzanizam Abdul Rashid. - Foto Aziah Azmee
DR Mohd Afzanizam Abdul Rashid. - Foto Aziah Azmee

Dasar mesra pertumbuhan elak potensi kemelesetan

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempercepatkan lebih banyak dasar ‘mesra pertumbuhan’ bagi mengelak kemungkinan berdepan kemelesetan ekonomi buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun, kata pakar ekonomi.

Ia susulan terdapat jangkaan penguncupan pertumbuhan sama ada menjelang akhir tahun ini atau tahun hadapan, susulan ketidaktentuan ekonomi global ekoran persekitaran kadar faedah global yang semakin meningkat serta kesan negatif eksport negara berikutan perang perdagangan China - Amerika Syarikat (AS).

Dalam istilah biasa, negara mengalami kemelesetan teknikal jika ekonominya mengalami pertumbuhan negatif selama dua suku berturut-turut.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kerajaan perlu melonggarkan dasar kewangan dan memperluaskan dasar fiskal untuk mengekalkan pertumbuhan.

“Lazimnya, kerajaan akan bertindak balas terhadap kelembapan ekonomi menerusi rangsangan fiskal dan pelonggaran monetari (menurunkan kadar dasar semalaman (OPR).

“Selain itu, pengurangan caruman anggota Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga boleh membantu meningkatkan perbelanjaan di kalangan pengguna,” katanya kepada Bisnes NSTP.

Daripada aspek fiskal, Afzanizam berkata, pemotongan cukai contohnya adalah tindak balas dasar segera untuk memastikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara terus berkembang.

“Begitu juga dengan dasar monetari, pengurangan OPR dan keperluan rizab berkanun adalah kaedah untuk untuk menurunkan kos pinjaman dan meningkatkan jumlah kecairan dalam sistem perbankan supaya ia dapat menggalakkan aktiviti pelaburan di kalangan syarikat,” katanya.

Manakala bagi isi rumah, beliau berkata, adalah penting untuk memastikan keadaan kewangan terus berada dalam keadaan baik.

“Individu boleh mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk terus mengekalkan pengurusan kewangan yang baik. Selain itu, sebagai persediaan menghadapi kemelesetan ekonomi , seseorang perlu mengawal paras hutang mereka,” katanya.

Menurut AllianceDBS Research, sentimen pengguna dalam jangka sederhana sebahagian besarnya akan bergantung kepada dasar baharu kerajaan.

Firma penyelidikan itu berkata, dasar kerajaan yang digariskan dalam manifesto boleh meningkatkan sentimen dan perbelanjaan pengguna, seterusnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi, termasuk pengenalan semula subsidi bahan api, pembasmian tol secara berperingkat, penghapusan hutang peneroka FELDA dan peningkatan minimum gaji bulanan di seluruh negara.

Malaysia mengalami kitaran kemelesetan terakhir pada 2009, 1998 dan 1985 yang mana KDNK masing-masing merosot sebanyak 1.5 peratus, 7.4 peratus dan satu peratus.

Dalam erti kata lain, menurut Afzanizam, kemelesetan boleh berlaku sekali dalam kitaran setiap 10 tahun dan kita perlu memperhatikannya serta melihat petunjuk daripada pasaran bon.

Sementara itu, Ketua Ekonomi MIDF Research, Dr Kamaruddin Mohd Nor, pula berkata, pelbagai petunjuk makro ekonomi sedang menunjukkan ke arah kelembapan ekonomi pada masa akan datang.

Bagaimanapun katanya, petunjuk ramalan itu dilihat berbeza dan bergantung kepada kitaran ekonomi.

“Melihat senario semasa, jangkaan kemelesetan akan berlaku dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang semakin tinggi.

“Ia termasuk kitaran perniagaan yang semakin panjang, pengetatan dasar monetari, ketegangan perdagangan yang semakin meningkat, risiko geopolitik dan ketidakpastian dasar,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X