Jumaat, 17 Ogos 2018 | 5:04pm
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk Soam Heng Choon. - Foto Owee Ah Chun

Harga rumah dijangka turun - REHDA

PUTRAJAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) menjangkakan harga kediaman dan komersial akan mengalami sedikit penurunan pasca pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bulan depan.

Presidennya, Datuk Soam Heng Choon, berkata jumlah penurunan tepat tidak dapat didedahkan secara terperinci memandangkan pihaknya belum mengetahui lanjut mengenai senarai barang binaan dikecualikan cukai itu.

Beliau berkata, secara asasnya penurunan harga yang tidak ketara akan berlaku kerana projek pembinaan tidak hanya tertakluk kepada bahan binaan semata-mata yang dikecualikan SST.

"Dalam projek pembinaan, bahan pembinaan membabitkan 50 peratus daripada projek, manakala baki 50 peratus lagi membabitkan aspek lain termasuk kos buruh.

"Memang benar, jika bahan binaan utama dikecualikan SST maka ia akan diterjemahkan kepada penurunan yang agak ketara, namun kita masih belum dapat menjelaskan bagaimana ini akan memberi impak kepada harga rumah dan projek komersial kerana projek pembinaan turut membabitkan aspek lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan cek sumbangan kepada Tabung Harapan Malaysia di sini, hari ini.

Cek sumbangan REHDA berjumlah RM250,000 diserahkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

Hadir sama ialah bekas Presiden REHDA, Datuk Seri FD Iskandar.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini mengumumkan perkhidmatan pembinaan dan kos bahan binaan akan dikecualikan SST.

Antara bahan pembinaan yang tidak dikenakan SST adalah simen, pasir dan besi.

Mengulas lanjut, Heng Choon, penurunan tidak ketara dalam harga kediaman dan komersial juga disebabkan langkah pengecualian cukai barang dan perkhidmatan (GST) oleh pemaju ketika regim percukaian itu dilaksanakan.

Katanya, pengecualian GST yang diberikan pemaju sudah menterjemahkan harga kediaman dan komersial yang lebih rendah sebelum ini.

"Pemaju memberikan pengecualian GST kepada pembeli sebelum ini di mana pembeli jimat enam peratus. Jadi dengan pengecualian SST, kita jangka penurunan harga yang kecil.

"Bagaimanapun, kita masih membuat kajian terperinci berkenaan perkara ini sebelum dapat mengumumkan secara terperinci penurunan yang dimaksudkan. REHDA perlu melihat secara keseluruhan perkara ini bagi memastikan maklumat yang tepat dapat disalurkan kepada rakyat," katanya.

Berita Harian X