Isnin, 20 Ogos 2018 | 9:00am
PENGARAH Projek Strategik UniKL, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid. - Foto Ihsan Pembaca

Krisis hutang antara punca perlunya bajet tambahan - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Penilaian semula bajet perlu dilakukan untuk menangani kedudukan kewangan negara supaya kembali kukuh dan terus berkembang mampan.

Pengarah Projek Strategik UniKL, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata kedudukan paras hutang negara yang di dakwa mencecah RM1 trilion, di samping beberapa krisis lain seperti hutang berbilion 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan kehilangan wang bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM18 bilion sudah semestinya memberi kesan kepada pendapatan negara.

Justeru, katanya penilaian semula bajet perlu dilakukan dan penilaian itu diambilkira selepas genap 100 hari kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerajui tampuk kepemimpinan kerajaan pada 17 Ogos lalu.

“Selepas menerajui negara pada 10 Mei 2018, PH telah menyelusuri dan mengkaji kedudukan kewangan negara terutamanya dalam tempoh hampir 100 hari,” katanya ketika dihubungi Bisnes NSTP.

Pada 12 Ogos lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, memberi bayangan bahawa kerajaan mempertimbangkan untuk membentangkan belanjawan tambahan.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi, berkata ia adalah satu langkah yang biasa dilakukan terutamanya berlakunya pelbagai perubahan seperti penghapusan GST, GST sifar dan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang semestinya memberi kesan kepada pendapatan negara.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata belanjawan tambahan adalah perkara biasa selepas beberapa bulan bajet diluluskan di Parlimen sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ahmed Razman berkata, dalam kes terbaharu ini, ada kemungkinan kerajaan mendapati banyak pendapatan kerajaan terpaksa digunakan untuk menampung hutang kerajaan yang terlalu tinggi.

“Kemungkinan kerajaan mahu menyelesaikan sebahagian hutang berkenaan dan sebahagiannya untuk membayar faedah hutang. Oleh itu, belanjawan tambahan adalah perlu untuk menampung belanja operasi dan pembangunan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, berdasarkan tahun sebelumnya, belanjawan tambahan lebih menumpukan kepada perbelanjaan kementerian yang penting untuk rakyat seperti kementerian pelajaran, kesihatan dan infrastruktur.

“Diharap menjelang Bajet 2019, kerajaan akan memastikan perancangan dibuat dengan teliti dan teratur supaya frekuensi belanjawan tambahan dapat dikurangkan pada tahun hadapan dan hanya dibentangkan jika berlaku peristiwa luar jangka saja,” katanya.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula memberi nada yang berlainan apabila beliau kurang pasti apakah fokus utama bajet tambahan yang bakal diumumkan.

“Secara jujurnya, saya tak pasti apakah peruntukan tambahan yg bakal diumumkan.

“Bagi saya, yang menjadi persoalan utama adalah bagaimana kerajaan ingin mencapai sasaran defisit fiskal sebanyak 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini terutamanya apabila hasil kutipan cukai tidak langsung seperti GST akan digantikan dengan SST pada September ini,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata isu itu antara perkara penting yang perlu dilihat kerana kerajaan perlu mengimbangi keperluan untuk berbelanja bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan pada masa sama memastikan disiplin kewangan yang tinggi.

“Saya percaya sasaran defisit ini juga menjadi tumpuan utama oleh agensi penarafan kredit antarabangsa seperti Moody’s, S&P dan Fitch.

“Justeru, pencerahan mengenai bagaimana sasaran defisit ini dicapai seharusnya membantu dalam membentuk keyakinan pelabur dan ahli perniagaan,” katanya.

Berita Harian X