Rabu, 22 Ogos 2018 | 5:10pm

PKS perlu laksana pendigitalan sebagai pola pemikiran

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu melakukan inovasi dan melaksanakan pendigitalan sebagai pola pemikiran, dalam semua bidang, untuk merebut peluang yang terdapat dalam ekonomi digital, menurut SME Corporation Malaysia (SME Corp).

Ia menekankan kepada penggunaan pendigitalan yang perlu meliputi individu, proses, teknologi dan data berikutan ia membolehkan syarikat melakukan inovasi dengan lebih cepat dan mencapai hasil perniagaan yang diinginkan.

“Analisis data akan menjadi elemen penting untuk memastikan ketersediaan data yang berkualiti tinggi, dapat bertindak, dipercayai dan lengkap," kata SME Corp kepada Bernama melalui e-mel.

Katanya syarikat juga perlu membangunkan tenaga kerja untuk masa depan dan peka untuk bersaing dalam era Internet-of-Everything ini.

Selain itu, SME Corp berkata, PKS perlu mengintegrasikan teknologi maklumat dan teknologi operasi untuk meningkatkan kecekapan perniagaan secara keseluruhan.

“Mereka mesti mula membina budaya komunikasi, kerjasama dan koordinasi antara pasukan ini yang disokong oleh kepimpinan syarikat," katanya.

Kaji selidik daripada agensi itu menunjukkan pendigitalan adalah satu trend yang semakin meningkat dalam kalangan PKS Malaysia apabila sebanyak 28 peratus menyertai perniagaan dalam talian pada suku ketiga 2017 berbanding 27.2 peratus pada suku pertama tahun yang sama.

“Bagi syarikat yang terbabit dalam perniagaan secara dalam talian, sebanyak 30 peratus daripada jualan mereka daripada saluran digital,” menurut SME Corp.

Kaji selidik itu turut mendapati majoriti daripada responden menggunakan komputer, telefon pintar dan Internet dalam operasi perniagaan harian mereka berikutan PKS menggunakan teknologi sedia ada dan cuba menyelaraskan semula perniagaan mereka kepada teknologi baharu selain mengakui kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Menyedari kepentingan ICT dalam era ekonomi digital hari ini, peningkatan pembabitan PKS dalam perniagaan secara dalam talian menunjukkan syarikat ini mahu mencapai pelanggan mereka dengan cara lebih baik dan mengembangkan perniagaan mereka.

“Penggunaan pasaran e-dagang semakin meningkat menunjukkan PKS lebih banyak berteraskan teknologi," menurut SME Corp.

Katanya, penekanan Malaysia kepada membina infrastruktur yang baik untuk menyokong pertumbuhan negara dan kewujudan platform e-dagang yang kukuh seperti Lelong dan Mudah, selain penggiat antarabangsa yang besar seperti Zalora, 11Street, Shopee dan Lazada membantu meningkatkan perniagaan e-dagang negara.

“Infrastruktur e-dagang turut disokong oleh peraturan yang menyeluruh, termasuk Akta Perdagangan Elektronik dan Akta Perlindungan Data Peribadi,” katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X