X
Ahad, 26 Ogos 2018 | 3:51pm
KETUA Ahli Ekonomi Kumpulan Maybank Kim Eng, Suhaimi Ilias. - Foto Eizairi Shamsudin
KETUA Ahli Ekonomi Kumpulan Maybank Kim Eng, Suhaimi Ilias. - Foto Eizairi Shamsudin

Cukai tambahan usaha tingkat hasil kerajaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mempertimbangkan cukai tambahan untuk meningkatkan pendapatan negara dalam usaha mengurangkan paras defisit negara secara berperingkat.

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Maybank Kim Eng, Suhaimi Ilias, berkata antara cukai tambahan yang dijangka dipertimbangkan ialah pengenalan semula cukai warisan harta, manakala bagi menjana menjana pendapatan bukan cukai pula, kerajaan berkemungkinan mencairkan aset-asetnya.

Katanya, langkah itu dijangkan dilaksanakan memandangkan disiplin fiskal diletakkan sebagai keutamaan kerajaan pada pembentangan Bajet 2019 yang akan datang, dengan usaha meningkatkan pendapatan negara adalah cabaran besar bagi pentadbiran semasa, khususnya peralihan daripada rejim Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menyaksikan pengurangan cukai dipungut.

“Berikutan pentadbiran semasa berpandangan GST sebagai cukai regresif dan membebankan rakyat umum, khususnya golongan pendapatan sederhana dan rendah, pilihannya ialah bagi cukai progresif.

“Sehubungan itu, saya kira golongan berpendapatan lebih tinggi harus bersiap sedia bagi potensi dikenakan cukai tambahan,” katanya pada Tinjauan Pasaran Separuh Kedua 2018 anjuran Maybank IB.

Menyentuh perbelanjaan pada Bajet 2019, beliau menjangka kerajaan akan lebih berhemah yang berpotensi menyaksikan kenaikan gaji dan promosi kakitangan kerajaan dibekukan bagi mengawal kos, berikutan perbelanjaan operasi menguasai perkongsian terbesar dalam bajet kerajaan.

Beliau juga turut menjangka perubahan dalam subsidi bahan api, yang mana ia akan lebih tertumpu kepada golongan sasar.

“Mekanismanya saya tidak tahu, tapi ia sesuatu untuk dipertimbangkan,” katanya

Mengulas lanjut, Suhaimi yakin dasar dan hala tuju kerajaan baharu akan lebih jelas selepas pembentangan Bajet 2019.

Berita Harian X