Isnin, 27 Ogos 2018 | 5:50pm

MSWG awasi syarikat dari China, PN17

KUALA LUMPUR: Syarikat Nota Amalan 17 (PN17) dan syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dari China akan berada di bawah pengawasan Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG) pada tahun depan sebagai langkah untuk menjaga kepentingan pemegang saham minoriti.

Ketua Pegawai Eksekutif MSWG, Devaneson Evanson, berkata kumpulan pemantau itu dapat memberi impak yang lebih baik dengan menangani syarikat yang pemegang sahamnya berada dalam risiko lebih tinggi.

Setakat ini, MSWG giat memantau 300 syarikat yang disenaraikan.

"Kami akan meliputi semua kerana apabila anda menjadi syarikat PN17, anda sudah menjadi risiko manakala syarikat China yang disenaraikan mempunyai sejarah masalah perakaunan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Laporan Tadbir Urus Korporat Malaysia-ASEAN 2017 di sini, hari ini.

Devaneson berkata, MSWG akan mula memantau syarikat berkenaan pada Jun tahun depan berikutan kebanyakan syarikat yang disenaraikan yang mempunyai tahun kewangan berakhir pada Disember 2018 akan mengadakan mesyuarat agung tahunan mereka pada bulan itu.

Ditanya mengenai penambahbaikan yang diperlukan untuk mengukuhkan tadbir urus korporat (CG), beliau menekankan kepada kepelbagaian gender dalam bilik lembaga pengarah, selain imbuhan berasaskan prestasi.

“Di MSWG, kami tidak menggalakkan lantikan politik untuk berada dalam lembaga pengarah. Biar pemegang saham memilih pengarah mereka,” kata Devaneson.

Sementara itu, laporan tadbir urus korporat yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan trend untuk tempoh lima tahun bagi skor purata 100 syarikat senaraian awam (PLC) utama meningkat secara konsisten daripada 75.99 mata pada 2013 kepada 85.02 mata pada 2016 dan terus meningkat kepada 86.18 mata pada 2017.

Momentum menaik itu menunjukkan usaha yang konsisten oleh 100 PLC utama dalam menambah baik amalan tadbir urus korporat, dasar dan pendedahan mereka, selain, usaha MSWG untuk menyokong syarikat yang melaksanakan tadbir urus korporat.

Sektor utama yang skor tadbir urus korporat sektor lebih tinggi berbanding keseluruhan skor CG sebanyak 62.20 mata merangkumi kewangan sebanyak 78.94 mata, projek infrastruktur PLC (67.24 mata) dan perdagangan/perkhidmatan (64.40 mata).

Menurut laporan itu, antara 2016 dan 2017, terdapat peningkatan dari segi purata imbuhan pengarah eksekutif dan pengarah bukan eksekutif disebabkan cabaran dan tanggungjawab yang lebih besar, selain jangkaan pasaran.

-BERNAMA

Berita Harian X