Selasa, 28 Ogos 2018 | 2:19pm

Untung suku kedua MAHB melonjak

KUALA LUMPUR: Keuntungan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2018, melonjak kepada RM86.12 juta daripada RM61.86 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

Pendapatan pada suku dikaji juga meningkat 5.0 peratus kepada RM1.15 bilion daripada RM1.09 bilion sebelumnya.

Operasi lapangan terbang mencatatkan pertumbuhan pendapatan 5.5 peratus kepada RM1.087 bilion, dengan pendapatan operasi lapangan terbang dalam suku semasa disumbang daripada pendapatan pembinaan sebanyak RM42.3 juta daripada operasi di Turki.

“Pendapatan pembinaan diambil kira berkaitan pembinaan pengembangan dewan pelepasan di Istanbul Sabiha Gokcen International Airport (ISGIA),” kata pengendali lapangan terbang itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagaimanapun, segmen aeronautikal, turun sedikit sebanyak 0.5 peratus kepada RM538.3 juta berbanding suku sama tahun lalu.

Operasi di Malaysia mencatatkan pertumbuhan penumpang 2.5 peratus kepada 24.3 juta penumpang daripada 23.7 juta dalam suku yang sama tahun lalu.

Berhubung operasinya di Turki, MAHB berkata trafik penumpang meningkat 7.7 peratus kepada 8.4 juta penumpang berbanding 7.8 juta dalam suku sama tahun sebelumnya.

“Kedua-dua trafik antarabangsa dan domestik meningkat sebanyak 7.7 peratus,” kata MAHB.

Segmen bukan aeronautikal naik 3.6 peratus kepada RM506.8 juta, dipacu jualan kukuh dicatatkan pemegang konsesi dan peruncit.

Bagaimanapun, operasi bukan lapangan terbang turun sedikit sebanyak 3.5 peratus atau RM2.4 juta disebabkan pendapatan rendah yang dijana daripada projek dan perniagaan penyenggaraan baik pulih, hotel dan pertanian.

Keseluruhannya, operasi di Malaysia mencatatkan sedikit penurunan pendapatan sebanyak 1.3 peratus kepada RM820.4 juta, manakala operasi di Turki dan Qatar mencatatkan pertumbuhan pendapatan 26.8 peratus masing-masing kepada RM299.9 juta dan 7.8 peratus kepada RM34.4 juta. - BERNAMA

Berita Harian X