Isnin, 3 September 2018 | 3:14pm
PEMANGKU Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Razif Abdul Aziz. - Foto Eizairi Shamsudin

Cradle Fund fokus pembiayaan syarikat pemula niaga

KUALA LUMPUR: Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) kini menumpukan pembiayaan awal kepada syarikat pemula niaga tempatan yang berpotensi khususnya di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Razif Abdul Aziz, berkata langkah itu adalah antara rancangan syarikat menguruskan dana lebih berkesan bagi mengatasi kekangan yang dihadapi pada masa ini.

"Bergerak ke hadapan, kami menghadapi kekangan bajet. Buat masa ini, sudah ada perbincangan mengenai sama ada peruntukan dana akan dikurangkan, namun keputusannya masih belum diketahui, dan ini adalah antara halangan yang kami perlu atasi

"Maka kami perlu bertindak bijak dan menempatkan sumber dana sebaiknya. Justeru, kami memberi tumpuan kepada tiga kawasan iaitu Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

"Kami berharap untuk mempelbagaikan pengagihan pembiayaan syarikat. Contohnya, di Pulau Pinang, kami menumpukan kepada sektor elektrik dan elektronik kerana negeri itu terkenal sebagai peneraju sektor berkenaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Program Pelaburan Cradle (CIP) memberikan impak signifikan kepada ekonomi negara dalam tempoh beberapa tahun dilaksanakan.

Berdasarkan kaji selidik yang dibuat dengan kerjasama HELP University, CIP telah menyumbang RM3.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sumbangan itu diunjurkan mencecah RM30.8 bilion menjelang 2030.

Laporan itu juga menunjukkan bahawa CIP turut menyumbang kepada pertumbuhan pekerjaan di negara ini, dengan mweujudkan 80,600 pekerjaan sepenuh masa di samping berjaya menarik dana persendirian dan asing RM1.3 bilion dalam tempoh lapan tahun bermula 2008.

Sejak diperkenalkan pada 2003, ia membantu lebih 800 individu dan syarikat permulaan tempatan selain mencatat kadar pengkomersialan tertinggi dalam kalangan geran yang diberikan kerajaan.

Razif berkata, pihaknya juga berharap sektor swasta akan turut mengambil bahagian dan melabur dalam ekosistem syarikat pemula niaga memandangkan dana yang diterima daripada kerajaan semakin berkurangan.

Katanya, Cradle Fund menerima dana lebih daripada RM30 juta setahun daripada kerajaan dan boleh memanfaatkan lebih 30 syarikat pemula niaga tempatan dalam tempoh itu.

Berita Harian X