Selasa, 4 September 2018 | 2:43pm
NORHALIM Yunus berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara MTDC dan Myedtech Community di Ibu Pejabat MTDC, Menara Tun Razak, hari ini. - Foto BERNAMA

MTDC bangun hab Industri 4.0

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menjalin usaha sama dengan 21 syarikat tempatan standard Industri 4.0 (i4.0) bagi membangunkan hab perkhidmatan dan latihan yang menghimpunkan pakar industri dalam semua bidang di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata, pihaknya komited menjadi peneraju industri 4.0 dan menyediakan platform yang membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengadaptasi serta menyesuaikan diri dengan kehadiran i4.0 di Malaysia.

Katanya, inisiatif MTCD dengan Myedtech Community ini juga menampilkan penyedia penyelesaian i4.0 tempatan yang mempunyai kepakaran masing-masing kepada pemain industri.

"Malaysia mempunyai syarikat tempatan i4.0 berbakat yang boleh diketengahkan dalam menghadapi revolusi industri baharu. Usaha sama MTDC dengan 21 syarikat i4.0 ini turut membuka ruang mendekatkan lagi kerjasama PKS dengan penyelidik universiti (sektor pendidikan) bagi meneroka lebih banyak peluang dalam industri 4.0.

"Hab yang dibangunkan ini juga membantu syarikat pemula niaga tempatan dan menggalakkan inovasi keusahawanan baru i4.0," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman MTDC dengan 21 syarikat i4.0 di sini, hari ini.

Norhalim berkata, hab perkhidmatan dan latihan itu diharapkan dapat mengurangkan kebergantungan terhadap syarikat i4.0 asing sekali gus sebagai persediaan PKS untuk bersaing di pasaran ASEAN.

Beliau berkata, MTDC sentiasa menggalakkan syarikat tempatan untuk bersedia dan meningkatkan keupayaan mereka.

Antara syarikat i4.0 yang menjalin kerjasama dengan MTDC termasuk Close Loob Sdn Bhd, Urban Mobility Asia Sdn Bhd, Zeeraffe Digital, Comrade Digital Labs dan Dagang Algomecs Sdn Bhd.

Melalui Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) dan ke-10 (RMK-10), syarikat yang menerima Dana Pengkomersialan Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF) dan Dana Perolehan Teknologi (TAF) daripada MTDC telah berjaya menjana jualan sebanyak RM1.974 bilion, mewujudkan 465 hak harta intelek dan 5,261 pekerjaan baharu.

Berita Harian X