Selasa, 4 September 2018 | 4:07pm
FOTO hiasan

Pekebun kecil getah akan terus dibantu

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus membantu pekebun kecil getah di negara ini menerusi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi berdepan persekitaran harga komoditi itu yang rendah.

Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, Datuk Dr Zairossani Mohd Nor berkata, ia berikutan harga SMR 20 dijangka berada pada paras rendah sekitar RM5 hingga RM6 sekilogram dalam tempoh dua tahun ini kerana berdasarkan kajian global, bekalan getah dijangka terlebih bekalan sebanyak dua juta tan menjelang 2023.

"Kami juga akan membantu pekebun kecil untuk meningkatkan produktiviti dalam berdepan persekitaran harga yang rendah," katanya pada sidang media selepas perasmian Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa ke-9 di sini, hari ini.

Persidangan dianjurkan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) bersama Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC).

IPG adalah bantuan yang diberikan oleh kerajaan sebanyak 10 sen hingga RM1.45 sekilogram ke atas setiap kilogram getah beku yang dikeluarkan oleh pekebun kecil apabila purata bulanan harga getah gred SMR20 berada di paras RM5.50 sekilogram atau purata bulanan harga getah beku berada di paras RM2.20 sekilogram ke bawah.

Bantuan ke atas lateks turut diberikan pada kadar 90 sen sekilogram (100 peratus kandungan getah kering).

Zairossani menambah, Malaysia dan negara pengeluar utama getah yang lain bekerjasama rapat dalam memgimbangi bekalan dan permintaan komoditi berkenaan.

Katanya, dari segi kawalan pengeluaran, Malaysia mempunyai mekanisme yang baik dalam mengendalikannya.

Sementara itu, Presiden MARGMA, Denis Low Jau Foo, berkata industri sarung tangan getah tempatan terus kukuh dengan nilai eskportnya dijangka mencecah RM18.8 bilion tahun ini.

Beliau berkata, pemintaan global dijangka meningkat daripada 232.2 bilion sarung tangan getah pada 2017 kepada 268 bilion sarung tangan getah tahun ini.

Katanya, Malaysia dijangka membekalkan 63 peratus atau 168.8 bilion sarung tangan getah daripada keseluruhan permintaan global tahun ini.

Mengenai impak pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap industri sarung tangan getah, Jau Foo berkata, impaknya adalah kecil memandangkan sebahagian besar pengeluaran produk berkenaan adalah untuk pasaran eksport.

Namun begitu, beliau berkata, peserta industri berharap kerajaan akan melanjutkan elaun pelaburan semula dalam Bajet 2019.

Berita Harian X