Rabu, 5 September 2018 | 3:18pm
TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif. - Foto Supian Ahmad

Pendapatan pelaburan KWSP meningkat

KUALA LUMPUR: Pendapatan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2018 meningkat 7.64 peratus kepada RM12.39 bilion, berbanding RM11.51 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif, berkata perang dagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang semakin tegang dan kenaikan kadar faedah AS menyumbang kepada aliran keluar modal dari pasaran baru muncul, termasuk Malaysia, hingga menyebabkan persekitaran perdagangan pasaran tempatan menjadi kurang memberangsangkan.

“Ketika pasaran maju seperti AS dan negara Eurozone mencatat keuntungan dalam pasaran ekuiti mereka, pasaran baru muncul termasuk Asia pula mencatatkan pulangan negatif.

“Memandangkan ASEAN adalah antara yang mencatatkan prestasi terburuk, Malaysia juga tidak terkecuali daripada kemerosotan pasaran. Bagaimanapun, langkah mempelbagaikan pasaran dan sektor membolehkan KWSP merekodkan pencapaian konsisten, di mana ekuiti muncul sebagai penyumbang utama pendapatan dalam suku tahun kedua,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada suku kedua 2018, ekuiti yang merangkumi 40.61 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP, menyumbang RM7.98 bilion, atau 64.44 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan dalam suku tahun berkenaan.

Sebanyak 52.09 peratus aset pelaburan KWSP dilaburkan dalam instrumen pendapatan tetap yang terus memberikan aliran pendapatan konsisten dan stabil.

Suku tahun kedua menyaksikan instrumen pendapatan tetap mencatatkan pendapatan RM4.09 bilion, bersamaan dengan 33.07 peratus daripada pendapatan pelaburan suku tahunan.

Pendapatan daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Bon Sama Taraf meningkat kepada RM2.40 bilion pada suku kedua 2018, manakala Pinjaman dan Bon menjana pendapatan pelaburan sebanyak RM1.70 bilion.

Pelaburan dalam Instrumen Pasaran Wang, yang mewakili 2.53 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan, telah menyumbang RM215.44 juta kepada pendapatan pelaburan.

Dalam suku dikaji, Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM91.73 juta. Kelas aset ini memberikan pulangan lindung nilai inflasi dan dijangka akan menyumbang pendapatan yang lebih tinggi dalam akhir tahun ini.

Nilai aset pelaburan KWSP mencecah RM813.18 bilion, naik 0.38 peratus atau RM3.05 bilion daripada 31 Disember 2017, namun mengalami penurunan kecil daripada suku tahun pertama 2018 akibat kejatuhan pasaran ekuiti.

Meskipun mengalami penurunan suku tahunan, kedudukan aset KWSP kekal sihat berbanding baki simpanan ahli yang berjumlah RM780.07 bilion.

Daripada jumlah keseluruhan aset pelaburan, sebanyak RM322.89 bilion, atau 39.71 peratus, dilaburkan dalam portfolio Syariah manakala selebihnya dalam portfolio konvensional.

Sebanyak RM1.09 bilion daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar RM12.39 bilion dijana untuk Simpanan Shariah, manakala RM11.30 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional.

Setakat akhir Jun 2018, pelaburan luar negara KWSP, yang merangkumi 26.50 peratus daripada aset pelaburan keseluruhan, telah menyumbang 38.30 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan dalam suku tahun yang dikaji.

Mengulas prospek separuh tahun kedua, Mohamad Nasir berkata, ketidaktentuan pasaran global terus menyelubungi prospek sepanjang tahun berikutan risiko politik dan perubahan dasar yang berterusan seperti perubahan yang bakal berlaku ke atas dasar monetari, ketidaktentuan keputusan Brexit serta ketegangan perdagangan yang berterusan antara negara-negara perdagangan utama.

“Dari segi domestik, prospek dijangka akan menjadi lebih baik berikutan pengurangan aliran keluar dana dan hala tuju dasar yang lebih jelas daripada kerajaan baharu. KWSP kekal fokus dalam memberikan pulangan melebihi kadar inflasi, sekurang-kurangnya dua peratus melebihi kadar inflasi untuk tiga tahun berturut-turut bagi melindungi dan meningkatkan nilai simpanan persaraan ahli,” katanya.

Berita Harian X