Khamis, 6 September 2018 | 5:16pm
RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah melihat model bangunan pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2018 di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. - Foto Eizairi Shamsudin

Selangor sasar pelaburan industri pembuatan RM7 bilion

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor menyasarkan pelaburan RM7 bilion dalam industri pembuatan di negeri itu pada tahun ini, meningkat 17 peratus berbanding RM5.8 bilion tahun lalu.

Menteri Besarnya, Amirudin Shari, berkata sebahagian besar jumlah itu disumbangkan oleh sektor makanan dan minuman, elektronik dan elektrikal, sains hayat, mesin dan peralatan serta peralatan pengangkutan.

Katanya, selain industri pembuatan, industri perkhidmatan juga adalah antara penyumbang yang tinggi kepada ekonomi negeri itu apabila menyumbang lebih RM4 bilion pada tahun lalu.

“Kami mempunyai semua infrastruktur dan aktiviti, kerana itu kerajaan negeri tidak boleh bergantung kepada industri pembuatan semata-mata.

“Cabaran kami ketika ini adalah bagaimana untuk meningkatkan potensi yang ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2018, di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan Selangor menyasarkan ekonomi negeri akan berkembang sebanyak RM290 bilion pada tahun ini, meningkat tujuh peratus daripada tahun lalu.

“Kita juga berharap sekurang-kurangnya pada tahun ini dapat mengekalkan sumbangan ekonomi Selangor sebanyak 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia seperti tahun lalu,” katanya.

Ditanya mengenai kesan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu sebanyak RM1,050 bermula tahun depan kepada ekonomi negeri, Amirudin berkata pihaknya akan memantau kesannya dari semasa ke sesama.

“Kita akan lihat bagaimana penyesuaiannya dan saya pasti ia akan mengambil masa. Kerana itu kita telah mewujudkan institusi berkaitan pekerja di mana di dalamnya saya akan turut memanggil persatuan pekerja supaya kita dapat menghubungkan pekerja, majikan dan kerajaan untuk menyesuaikan beberapa perkembangan baharu untuk pekerja.

“Ini bukan mengenai gaji sahaja, tetapi berkenaan revolusi industri 4.0, apakah jenis latihan dan aktiviti yang perlu dilaksanakan untuk pekerja, dan begitu juga dengan kebajikan mereka,” katanya.

SIBS yang bermula hari ini akan berlangsung selama 10 hari dengan penyertaan daripada 23 negara antaranya Taiwan, Jerman, India, Iran dan Sepanyol.

Tahun lalu, sidang kemuncak itu berjaya menarik kehadiran lebih 22,000 pengunjung dan berjaya mencatat nilai transaksi berjumlah RM204.2 juta.

Berita Harian X