Jumaat, 7 September 2018 | 12:51pm
KETUA Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin. - Foto Rohanis Shukri

IPP Malaysia meningkat 2.6 peratus pada Julai

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 2.6 peratus pada Julai 2018 berbanding bulan yang sama setahun lalu, disokong oleh pertumbuhan dalam indeks pembuatan dan elektrik, kata Jabatan Perangkaan.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata keluaran sektor pembuatan meningkat 5.2 peratus pada Julai 2018 selepas mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus pada Jun 2018, didorong oleh subsektor utama iaitu produk peralatan elektrik dan elektronik (8.0 peratus), petroleum, kimia, getah dan produk plastik (4.0 peratus) dan peralatan pengangkutan serta produk pembuatan yang lain (13.5 peratus).

“Laporan itu menyatakan keluaran elektrik meningkat 4.5 peratus pada Julai 2018 susulan peningkatan 3.0 peratus pada Jun 2018.

“Sementara itu, keluaran sektor perlombongan mencatatkan penurunan 5.9 peratus pada Julai 2018 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya disebabkan oleh penyusutan indeks gas asli (-15.2 peratus),” katanya.

Sementara itu, indeks minyak mentah meningkat 4.5 peratus, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X