Rabu, 12 September 2018 | 1:44pm
DATUK Teng Chang Khim. - Foto NSTP

SIBS 2018 platform produk tempatan ke peringkat antarabangsa

KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2018 yang berlangsung selama 10 hari sehingga 16 September ini adalah platform terbaik bagi produk dan perkhidmatan domestik untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim berkata, tanpa perlu ke luar negara , SIBS 2018 membantu usahawan industri kecil dan sederhana tempatan mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka, semuanya di satu tempat.

“Kos perjalanan boleh dijimatkan kerana SIBS bertindak sebagai platform yang menghubungkan syarikat multinasional tempatan dan asing, sekaligus membuka laluan untuk kedua-dua pihak mengembangkan lagi perniagaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya, SIBS kali ini menyaksikan peningkatan pempamer iaitu sebanyak 1,000 gerai berbanding 691 tahun lepas. Kira-kira 60 peratus adalah pempamer tempatan manakala selebihnya dari 23 negara Asean.

Bagi SIBS akan datang, Teng berkata kerajaan negeri menyasarkan lebih banyak negara asing mengambil bahagian seperti China, India dan dari benua Afrika.

SIBS yang ketiga dijangka berlangsung dari 5 sehingga 14 September 2019.

Di samping mengekalkan tema makanan dan minuman, beliau berkata komiti SIBS akan mengkaji keberangkalian penambahan tema seperti bidang perubatan, pertanian, elektronik dan farmaseutikal bagi acara akan datang.

Berita Harian X