Khamis, 13 September 2018 | 3:39pm
MENTERI Industri Utama, Teresa Kok melancarkan program kerjasama antara FGV dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggunakan B10 di Pelabuhan Klang, hari ini. - Foto Faiz Anuar

Penggunaan biodiesel B10 perlu ditingkatkan

PELABUHAN KLANG: Kerajaan menggesa peserta industri, khususnya syarikat terbabit dalam sektor logistik, perladangan dan perkilangan menyokong usaha meningkatkan penggunaan minyak sawit secara domestik melalui biodiesel B10.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata penggunaan ini juga sejajar dengan usaha membantu pekebun kecil yang berdepan masalah lebihan stok minyak sawit.

Katanya, semua pihak perlu serius dan menjadikan penggunaan B10 ini menjadi realiti, malah Pada 1 Ogos lalu, kementeriannya telah mengadakan sesi rundingan B10 bersama syarikat pengeluar kenderaan, persatuan industri pembuatan dan syarikat petroleum.

“Daripada (sesi) itu, satu makmal persediaan diadakan dengan pembabitan agensi kerajaan dan pemain industri yang terbabit. Bagaimanapun kerajaan masih tidak mempunyai jangkaan tempoh mewajibkan penggunaan sepenuhnya B10. Cadangan dan maklumat perlu diperhalusi terlebih dulu.

“Namun, beberapa syarikat sudah mengambil pendekatan menggunakan B10 dalam operasi mereka seperti FGV Holdings Bhd (FGV). Tiada sebarang masalah dihadapi mereka dan ini menunjukkan kita sudah boleh bersedia menggunakannya.

“Malah negara luar seperti Eropah, China dan India juga memang menggunakan biodiesel yang diakui mesra alam. Namun kadar penggunaannya masih rendah, lantaran itu kita sebagai antara negara pengeluar utama minyak sawit harus memainkan peranan dan mengambil peluang yang ada menggunakan minyak sawit sebagai biobahan api,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program kerjasama antara FGV dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggunakan B10 di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad; Pengerusi MPOB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Kushairi Din.

Biodiesel B10 mengandungi adunan 10 peratus ester metil sawit (PME) dengan 90 peratus petroleum diesel.

Sementara itu, Zakaria berkata, sekarang adalah waktu terbaik kerajaan mempertimbangkan cadangan pelaksanaan mandat B10 berikutan harga minyak sawit mentah kini rendah.

Katanya, jangkaan penganalisis pasaran juga menunjukkan stok minyak sawit mentah Malaysia dan Indonesia dijangka meningkat separuh kedua tahun ini disebabkan pengeluaran tinggi dan ia bakal menambah tekanan kepada harga pasaran minyak sawit.

Mengenai penggunaan B10 pula, Zakaria berkata, FGV dan MPOB sudah menjalankan ujian penggunaan B10 secara komprehensif sejak Ogos 2017 menerusi bahagian logistik sebelum dikembangkan ke sektor perladangan dan perkilangan FGV.

“Sehingga akhir Ogos lalu, bahagian logistik FGV sudah menggunakan 91,536 liter B10 dengan jarak perjalanan sejauh 171,932 kilometer.

“Manakala dalam operasi ladang dan kilang kami pula, kita sudah menggunakan masing-masing sebanyak 26,347 liter dan 59,077 liter B10.

“Sepanjang tempoh itu, tiada sebarang isu teknikal dilaporkan dan ujian saintifik juga menunjukkan hasil positif. FGV akan teruskan ujian ini hingga Oktober nanti bagi pastikan data konsisten dan menyeluruh,” katanya.

Berita Harian X