Selasa, 18 September 2018 | 4:55pm
Ketua Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass.

Pengangguran belia tinggi kekal cabaran utama

KUALA LUMPUR: Malaysia terus berdepan cabaran pengangguran golongan belia yang tinggi berikutan faktor ketidakseimbangan kemahiran serta jurang struktur asas antara sistem pendidikan dan industri, kata penganalisis.

Ketua Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata pengangguran golongan muda Malaysia kekal pada kadar iaitu 10.8 peratus, lebih tinggi berbanding Singapura (4.6 peratus), Thailand (5.9 peratus), Vietnam (7.9 peratus) dan India (10.5 pertus).

Walaupun ia lebih rendah berbanding Indonesia dan China masing-masing pada 15.6 dan 10.8 peratus, tetap kadar semasa negara adalah tinggi, katanya.

"Meskipun kadar pengangguran (keseluruhan) Malaysia kekal baik berbanding negara serantau, namun kebimbangan utama adalah kadar pengangguran golongan belia.

"Berdasarkan data tahun 2017, walaupun kadar pengangguran dilaporkan pada 3.4 peratus, kadar pengangguran belia terus meningkat tiga kali lebih tinggi pada 10.8 peratus pada 2017, berada di belakang Indonesia dan China tetapi lebih tinggi daripada Singapura, Thailand, Vietnam, Filipina dan India," katanya dalam nota penyelidikan di sini hari ini.

Kadar pengangguran Julai kekal pada kadar 3.4 peratus untuk bulan kedua berturut-turut manakala kadar pengambilan pekerja meningkat sebanyak 19,200 daripada 10,600 pada Jun.

Dass, berkata jumlah penganggur pada Julai turut menurut 0.1 peratus dari tahun ke tahun kepada 518,600 manakala jumlah mereka yang bekerja terus meningkat menjadi 14.9 juta.

Sementara itu, katanya, kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) meningkat kepada 68.6 peratus pada tempoh yang sama iaitu yang tertinggi sejak Oktober 2013 sebahagiannya disokong oleh penurunan bilangan orang di luar tenaga buruh yang jatuh sebanyak 1.5 peratus dari tahun ke tahun menjadi kepada 7.04 juta.

"Prestasi keseluruhan pasaran buruh kekal kukuh, disokong keadaan ekonomi semasa yang mana kita mengunjurkan pertumbuhan ekonomi dapat berkembang sebanyak lima peratus pada 2018.

"Peluang pekerjaan akan disokong oleh aktiviti domestik dan eksport dengan beberapa bantuan dari sektor 'informal'," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Rusmawati Said, berpendapat bahawa terdapat ketidakpadanan bekalan dan permintaan dalam pasaran pekerjaan yang mana ia membawa kepada pengangguran golongan belia yang tinggi.

Katanya, ia adalah disebabkan apa yang dikehendaki pihak majikan tidak dapat dipenuhi oleh golongan belia berikutan pekerjaan yang ditawarkan yang tidak bersesuaian selain dipengaruhi perkembangan teknologi yang sentiasa berubah-ubah.

“Dalam situasi ini, pihak berkaitan perlu mewujudkan pangkalan data atau kajian bagi memastikan ia sentiasa relevan supaya sejajar dengan peredaran zaman dan teknologi terkini,” katanya.

Berita Harian X