Isnin, 24 September 2018 | 3:31pm
KETUA Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Mohd Razali Hussain. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Sasaran pertumbuhan produktiviti negara mampu dicapai

PETALING JAYA: Malaysia berada dalam landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan kadar produktiviti 3.7 peratus tahun ini, didorong oleh pelaksanaan pelbagai inisiatif dan dasar yang sedang dijalankan pada masa ini.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Mohd Razali Hussain berkata pembabitan organisasi serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga menjadi semakn rancakmenerusi program peningkatan produktiviti yang dijalankan.

“Dari situ, pemilik perniagaan akan melihat perbandingan dari aspek tahap prestasi yang diperlukan. Kita lihat adanya kesungguhan dan komitmen daripada mereka untuk meningkatkan lagi prestasi sedia ada.

“Selain itu, keadaan persekitaran kini juga sudah sedikit stabil dan saya berpendapat ia adalah masanya bagi semua pihak, bukan saja organisasi atau PKS malah kepada MPC juga untuk lebih fokus dalam semua aktiviti yang dilakukan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan kepada peserta Program Peningkatan Produktiviti menerusi Sistem Pengurusan ‘Lean’ di sini, hari ini.

Seramai 41 peserta menyertai program berkenaan yang diadakan MPC dengan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan ia bermula pada Januari 2017.

Mengulas lanjut, Mohd Razali berkata penerima sijil berkenaan diberi pentauliah berhadap kepakaran, pengetahuan dan kemampuan mereka dalam meningkatkan produktiviti dalam syarikat di negara ini menerusi pendekatan ‘Lean’.

“Pakar ‘Lean’ yang dipilih akan terus memacu inisiatif produktiviti dalam rangkaian industri yang mereka ceburi.

“Saya berharap inisiatif seperti ini akan dikembangkan ke industri lain dan membolehkan kita mengenali kepakaran baharu dalam memastikan paras produktiviti di kalangan syarikat Malaysia meningkat,” katanya.

Sijil kepakaran itu diberi berdasarkan penamatan projek pemambahbaikan produktiviti menerusi amalan ‘Lean’ yang dibahagikan kepada tiga bahagian.

Bahagian pertama adalah Ilmu Asas; bahagian kedua (aplikasi modul) dan bahagian ketiga adalah Amalan Lapangan.

Berita Harian X