Selasa, 25 September 2018 | 3:56pm
MENTERI Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berucap pada Simposium Tenaga Solar 2018 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Kerajaan komited bantu syarikat teknologi hijau, RE

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan untuk membantu peserta sektor teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui (RE) mendapatkan pembiayaan yang lebih baik pada masa depan memandangkan industri itu kini berhadapan dengan kesukaran daripada aspek pembiayaan.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata pada masa ini industri itu kurang berjaya dalam menarik perhatian institusi perbankan untuk membiayai mereka kerana ia pasaran yang masih muda.

Menurutnya, kadar faedah yang dikenakan daripada pembiayaan adalah tinggi sehingga menyebabkan peserta industri itu dilihat tidak mempunyai akses untuk untuk mendapatkan tawaran kadar faedah lebih rendah.

"Oleh itu, kami akan melakukan perjumpaan dengan pihak berkepentingan seperti Bank Negara Malaysia (BNM), institusi perbankan dan bank pelaburan bersempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2018 pada Oktober ini bagi membincangan perkara ini," katanya pada Simposium Tenaga Solar 2018 di sini, hari ini.

Hadir sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif MGCC, Daniel Bernbeck dan Duta Jerman, Nikolaus Graf Lambsdorff.

Simposium yang dianjurkan Dewan Industri dan Perdagangan Malaysia-Jerman (MGCC) itu menyaksikan seramai sembilan pakar dan penyedia teknologi berkaitan tenaga solar dari Jerman bagi berkongsi kepakaran dan pengalaman bersama pemain industri di Malaysia.

Beliau berkata, langkah membantu peserta industri itu mendapatkan pembiayaan akan dapat mengembangkan industri terbabit dengan menarik perhatian daripada institusi perbankan dan bank pelaburanm sekali gus mengembangkan industri itu tanpa perlu banyak bergantung kepada subsidi daripada kerajaan.

"Saya lihat industri ini perlu mendapatkan modal daripada swasta dan pasaran modal tanpa berterusan berharap kepada subsidi kerajaan bagi memastikan mereka lebih berdaya saing di pasaran pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Bee Yin berkata kerajaan akan mengumumkan dasar dan kerangka undang-undang yang lebih jelas berkaitan industri itu bermula pada tahun depan.

"Pada masa ini, kami masih meneliti dan menyemak semua perkara yang akan dimasukkan dalam agenda perubahan bagi industri ini secara keseluruhan sebelum ia akan diumumkan mulai 2019," katanya.

Berita Harian X