Rabu, 26 September 2018 | 1:43pm
PENGASAS The Center of Applied Data Science (CADS), Sharala Axryd. - Foto Rosela Ismail
PENGASAS The Center of Applied Data Science (CADS), Sharala Axryd. - Foto Rosela Ismail

PKS hilang pendapatan enggan guna data besar

KUALA LUMPUR: Hampir 90 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kehilangan antara satu hingga lima peratus daripada pendapatan mereka setiap tahun berikutan keengganan untuk tidak mengadaptasi ‘big data’ dalam operasi perniagaan, demikian menurut pakar.

Pengasas The Center of Applied Data Science (CADS), Sharala Axryd, berkata PKS di negara ini tidak boleh terlalu selesa dengan cara tradisional termasuk melakukan proses pengurusan data secara manual kerana ia boleh menyebabkan lebih banyak kesilapan manusia berlaku.

“Walaupun nampak sedikit atau kecil namun jika ia berterusan dan kerap berlaku dalam pengurusan, ia akan mengakibatkan kebocoran pendapatan dalam tempoh jangka pendek dan panjang.

“Jika tidak berubah dalam jangka terdekat, senario akan menyebabkan PKS tidak dapat bertahan dalam tempoh yang lama dan akhirnya terpaksa menutup perniagaan mereka,” katanya selepas forum sarapan pagi bertajuk ‘Hentikan Kebocoran Pendapatan dan Tingkatkan Keuntungan anjuran CADS di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Axryd berkata, terdapat kesedaran yang sangat rendah mengenai pentingnya transformasi digitalisasi terhadap pengurusan data dalam kalangan majoriti PKS pada masa ini.

“Mereka mungkin tidak menyedari bahawa apabila dunia bergerak ke arah pendigitalan, PKS juga terpaksa berubah jika mahu bertahan,” katanya.

Axryd berkata, kebocoran pendapatan adalah cabaran perniagaan yang kompleks membabitkan pelbagai pihak berkepentingan, disiplin operasi dan pakar khusus.

"Saintis data kami mampu membantu perniagaan yang dinamik dan berkembang di pelbagai sektor dan industri dengan mengenal pasti serta melaksanakan strategi yang sesuai, memasukkan kawalan yang berkesan, dasar dan keupayaan pakar untuk memberikan nilai perniagaan yang ketara,” katanya.

Berita Harian X