Rabu, 26 September 2018 | 2:28pm
Ketidakseimbangan dalam pasaran hartanah terus berlarutan, kata Bank Negara Malaysia. - Foto hiasan

Ketidakseimbangan pasaran hartanah terus berlanjutan - BNM

KUALA LUMPUR: Ketidakseimbangan dalam pasaran hartanah terus berlarutan, kata Bank Negara Malaysia.

Bank pusat itu berkata, bilangan unit rumah yang tidak terjual, meningkat kepada kira-kira 146,196 unit pada akhir suku pertama 2018, dengan lebih 80 peratus unit tidak terjual berharga melebihi RM250,000.

Katanya, lebihan bekalan ruang pejabat dan kompleks juga dijangka berterusan berikutan kadar kekosongan terus merosot lagi pada suku pertama 2018.

“Bagaimanapun, permintaan yang berterusan untuk rumah mampu milik, khususnya daripada pembeli rumah pertama dan amalan taja jamin yang berhemat dalam pemberian pinjaman kepada pasaran hartanah dan sektor yang berkaitan dijangka dapat mengurangkan risiko pembetulan harga secara meluas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai hutang isi rumah, Bank Negara berkata, risiko dari pendedahan sektor isi rumah terus diimbangi oleh taja jamin dan penilaian kemampuan pinjaman yang berhemat oleh institusi kewangan dan amalan pengurusan risiko yang mantap.

Ia berkata, pinjaman isi rumah baharu kekal berkualiti tinggi dengan kira-kira tiga perempat pinjaman baharu yang diluluskan adalah kepada peminjam dengan Nisbah Khidmat Hutang (DSR) kurang 60 peratus.

“Secara keseluruhan, jumlah hutang isi rumah juga berada pada landasan yang lebih lestari berbanding dengan pertumbuhan pendapatan, berikutan langkah pencegahan yang dilaksanakan sejak 2010.

“Nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus sederhana dan kini berada pada paras 83.8 peratus pada suku kedua 2018 berbanding 84.2 peratus suku sama tahun lalu,” katanya.

Bank Negara berkata, kestabilan kewangan domestik kekal utuh di tengah-tengah kemuncak ketidaktentuan didorong faktor domestik dan luaran pada separuh pertama 2018.

Ia berkata, keadaan kecairan dan pendanaan tetap kondusif untuk menyokong pengantaraan kewangan sepanjang separuh pertama 2018 dengan kecairan yang lebih tinggi dikekalkan oleh sistem perbankan kini berjumlah RM156.2 bilion.

Katanya, usaha berterusan oleh bank untuk mempelbagaikan asas pendanaan mereka dengan memasukkan instrumen hutang jangka sederhana yang lebih stabil ditambah dengan penampan sedia ada aset cair berkualiti tinggi, melebihi keperluan minimum Nisbah Perlindungan Mudah Tunai (LCR) yang selanjutnya meningkatkan ketahanan bank terhadap kecairan dan tekanan berkaitan pendanaan melangkah ke hadapan.

Mengenai kedudukan kewangan syarikat bukan kewangan Malaysia (NFCs) pula, Bank Negara berkata, ia kekal kukuh pada separuh pertama tahun ini.

Leveraj agregat NFC meningkat pada kadar yang sederhana tetapi firma terus mengekalkan kewangan yang sihat dengan kapasiti pembayaran hutang mereka berada di atas paras siling berhemat (nisbah liputan faedah sebanyak 8.2 kali).

Prestasi perniagaan firma dalam sektor pertanian dan minyak dan gas boleh dipengaruhi oleh gangguan bekalan, yang dijangka berterusan hingga akhir 2018.

Namun, kebanyakan sektor lain dijangka mencatatkan prestasi lebih baik berikutan sentimen pengguna dan perniagaan yang positif, perbelanjaan runcit yang tinggi ketika tempoh cuti cukai, serta keadaan pasaran buruh yang menggalakkan.

Berita Harian X