Khamis, 27 September 2018 | 5:05pm

KL perlu lebih berdaya saing

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur perlu menjadi bandar raya lebih berdaya saing di peringkat serantau dan global bagi memenuhi keperluan penduduk yang sentiasa berubah.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad, berkata bandaraya itu juga mampu berperanan dalam pembangunan ekonomi negara pada masa depan.

KHALID Abdul Samad. - Foto NSTP
KHALID Abdul Samad. - Foto NSTP

Kuala Lumpur, jelas beliau, bukan sekadar dilihat sebagai lokasi untuk didiami tetapi perlu menghadapi persaingan bagi menarik lebih banyak peluang pelaburan asing.

“Sebuah bandaraya yang berdaya saing perlu memanfaatkan lokasi dan fungsinya, serta memastikan kos lebih rendah serta efektif untuk menggalak dan membantu firma menjadi lebih kompetitif.

“Pada masa sama, tadbir urus bandar yang baik adalah penting kerana pengurusan yang cekap mampu menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi sihat, selain memastikan penggunaan sumber yang berkesan dan optimum,” katanya ketika menyampai ucaptama pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Bandar Raya Mapan Bertaraf Dunia (WCSC) 2018, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 kini di peringkat kajian semula bagi memasukkan beberapa keutamaan membabitkan konsep, dasar dan strategi terbaharu yang semakin berkembang dan mampu diterima pakai di peringkat nasional serta global.

Selain itu katanya, menerusi gambaran senario Kuala Lumpur menjelang 2020, bandaraya berkenaan bakal dihuni kira-kira 25 peratus di kalangan generasi muda.

“Ini bermakna ia akan menyebabkan kepada peningkatan keperluan untuk perumahan mampu milik, pekerjaan dan ruang kawasan untuk beriadah dan kemudahan pengangkutan.

MALAYSIA menduduki tempat ke-75 daripada 157 negara di dunia. - Foto hiasan
MALAYSIA menduduki tempat ke-75 daripada 157 negara di dunia. - Foto hiasan

“Justeru, kita perlu memastikan perancangan dan pengurusan bandar bukan sekadar memenuhi keperluan penduduk tetapi juga keperluan rakyat pada masa depan,” katanya.

Pada masa sama katanya, Malaysia juga perlu bersedia untuk menghadapi negara tua menjelang 2040 dengan memastikan setiap pelaksanaan tindakan, perancangan dan reka bentuk dalam perancangan nasional memenuhi keperluan itu.

Sementara itu, pada sidang media berasingan, Khalid berkata, kementerian juga berusaha untuk menyediakan ruang niaga mencukupi bagi usahawan kecil di Kuala Lumpur bagi memastikan operasi perniagaan mereka dapat dijalankan secara tersusun dan terancang.

“Kita perlu fikirkan cara bagaimana untuk menyediakan ruang perniagaan kepada usahawan kecil terbabit, tetapi pada masa sama ia tidak memburukkan imej kawasan di bandaraya ini,” katanya.

Kementerian Wilayah juga akan mengumumkan struktur pengurusan baharu Perbadanan Pembangunan Kampung Baru menjelang Oktober ini.

Khalid berkata, keputusan itu bagaimanapun bergantung kepada kelulusan daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Senarai namanya sudah ada tetapi ia perlu mengikut prosedur dan proses bagi mendapatkan kelulusannya.

"Perdana Menteri memberikan penekanan dan kepentingan terhadap Kuala Lumpur dan Putrajaya, jadikan sebarang pelantikan saya perlu berbincang dengan beliau," katanya.

Berita Harian X