Jumaat, 28 September 2018 | 3:29pm
IR Ahmad Asri Abdul Hamid. - Foto Saifullizan Tamadi

Kos binaan rumah dijangka turun 3-5 peratus

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menjangkakan kos pembinaan kediaman di negara ini turun kepada tiga hingga lima peratus berikutan langkah kerajaan mengecualikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap perkhidmatan dan bahan binaan.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid, berkata kajian keseluruhan yang dilakukan CIDB mendapati langkah itu mampu membantu pemaju mengurangkan kos terbabit iaitu salah satu daripada komponen penting dalam sesebuah projek kediaman.

"Walaupun penurunan kos pembinaan itu dilihat memberi impak tinggi namun, harga sesebuah rumah juga bergantung kepada kos lain seperti kos tanah dan pematuhan," katanya pada sidang media Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata, CIDB berharap langkah kerajaan itu disambut baik oleh pihak pemaju dengan cara mengurangkan harga rumah berikutan jangkaan penurunan kos pembinaan.

"Saya sedar keputusan pemaju menurunkan harga rumah adalah sukar berikutan situasi pasaran semasa namun saya menggalakkan pemaju supaya menyahut seruan kerajaan untuk menurunkan harga rumah" katanya.

Mengulas mengenai tindakan terhadap pemaju yang tidak menurunkan harga rumah, Ahmad Asri berkata, langkah itu dilihat tidak wajar kerana ia memberi kerugian kepada pemaju perumahan dan industri pembinaan secara keseluruhan.

"Saya berharap agar pemaju perumahan dapat mengambil langkah rasional dengan mengurangkan harga rumah demi kepentingan rakyat di negara ini," katanya.

Kerajaan baru-baru ini memberi amaran untuk menarik balik langkah pengecualian SST sebanyak enam peratus yang dikenakan terhadap perkhidmatan dan bahan binaan jika pemaju perumahan tidak menurunkan harga rumah.

Berita Harian X