Isnin, 1 Oktober 2018 | 5:56pm

UM agensi terbaik AOTY buat kali ke-7

KUALA LUMPUR: Agensi media global perkhidmatan penuh IPG Mediabrands, Universal McCann (UM) memenangi gelaran Agensi Tahunan (AOTY) untuk kali ketujuh pada Anugerah Media Malaysia (MMA) 2018 yang dianjurkan Persatuan Pakar Media (MSA), baru-baru ini.

UM menjadi agensi teratas dengan lapan anugerah emas, lima perak dan tiga gangsa bagi 14 kategori dengan anugerah emas bagi pelanggan seperti Mudah.my, KFC, TM dan Spotify di samping Mudah.my yang turut menggondol Grand Prix dengan kempen ‘Goodbye, Goodbuy’dan Pengiklan Tahunan.

Pengarah Urusan Kumpulan UM, Amit Sutha, berkata kemenangan kali ini dan kejayaan memenang kembali gelaran Agensi Tahunan untuk kali ketujuh di Malaysia menunjukkan bagaimana agensi itu bekerja dan bakat yang dimiliki.

“Pasukan ini juga bekerja keras dan membuktikan bahawa mereka mendahului dalam membantu jenama menerokai landskap media melalui gangguan digital dan penyelesaian data pintar dan berinovasi,” katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Anugerah MMA yang dianjurkan selama 14 tahun berturut-turut oleh MSA membabitkan 14 kategori secara keseluruhan dan anugerah istimewa termasuk Grand Prix untuk kempen prestasi terbaik, Pengiklan Tahunan dan Agensi Tahunan.

Panel juri terdiri daripada peneraju industri tempatan yang menilai penyertaan berdasarkan merit, ketelusan dan prestasi.

Sementara itu, malam anugerah terbabit turut menyaksikan kemenangan besar keseluruhan bagi rangkaian IPG Mediabrands dengan penyandang AOTY 2017 iaitu Initiative berada di kedudukan kedua dengan tiga anugerah emas dan dua gangsa manakala BPN membawa pulang satu anugera emas dan perak.

Ketua Pegawai Eksekutif IPG Mediabrands, Bala Pomaleh, berkata kejayaan itu adalah tahun kemunculan kembali terbaik bagi UM dengan pihanya berbangga kerana dapat mengekalkan gelaran AOTY bersama rangkaiannya.

“Jumlah keseluruhan anugerah yang dimenangi merentasi semua agensi kumpulan kami adalah rekod rangkaian baru untuk MMA dan ia menjadi penanda aras tinggi bagi industri,” katanya.

Pada awal tahun ini, UM turut membolot gelaran Agensi Digital Tahunan pada anugerah berlainan yang dianjurkan oleh Persatuan Digital Malaysia.

Berita Harian X