Sabtu, 6 Oktober 2018 | 2:55pm
Khairy Jamaluddin Abu Bakar hadir pada majlis pembukaan gimnasium kanak-kanak pelbagai spektrum ‘We Rock The Spectrum’ di Taman Melawati, hari ini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

AMD masih dalam tempoh 'waranti'

KUALA LUMPUR: ‘Malapetaka’ yang berlaku di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) susulan beberapa masalah yang timbul disifatkan sebagai perkara yang normal bagi sebarang projek kerajaan.

Malah, semua pihak juga tidak perlu khuatir memandangkan projek itu masih lagi berada dalam tempoh tanggungan kecacatan di mana kontraktor tetap perlu memperbaiki segala masalah yang dinyatakan tanpa sebarang kos kepada kerajaan.

Mengesahkan perkara itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata ini bukan masanya untuk menuding jari kepada mana mana pihak sebaliknya perlu memikirkan cara terbaik untuk menyelesaikan segala masalah terbabit.

“Dalam setiap projek tentu ada kecacatan dan selepas projek diserahkan, sebahagian perkara tidak menepati standard yang dimahukan jadi kita memberi penekanan terhadap aspek ini.

“Projek itu dipantau rapi sejak dari mula hinggalah akhir namun masalah hanya dapat dikesan selepas projek selesai dan diserahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Apa yang patut berlaku sekarang adalah kontraktor perlu segera menyelesaikan masalah yang sudah dinyatakan ini kerana AMD masih dalam tempoh tanggungan kecacatan.

“Jika kontraktor dapat menyelesaikan masalah ini secara sepenuhnya dengan kadar segera, saya rasa perkara ini boleh diperbetulkan,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan gimnasium kanak-kanak pelbagai spektrum ‘We Rock The Spectrum’ di Taman Melawati, hari ini.

Dalam masa sama, Khairy sempat mempersoalkan mengapa masalah terbabit tidak diselesaikan dalam tempoh lima bulan sebelum ini ketika projek terbabit sudahpun diserahkan kepada KBS sejak April lalu.

“Apa yang saya tak faham kenapa sebelum ini di mana ada beberapa perkara yang saya sendiri sudah maklum tetapi ia tidak diperbaiki?

“Mengapa menteri (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) tidak mendapat sebarang laporan mengenai perkembangan di AMD sehingga beliau sendiri terpaksa membuat lawatan mengejut?

“Banyak perkara yang saya bangkitkan sebelum ini dan sepatutnya ia sudah diselesaikan. Sudah lima bulan saya tidak berada di situ (sebagai menteri), katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq jelas kecewa dengan pelbagai kepincangan di AMD yang bernilai RM85 juta sehingga boleh merencatkan pembangunan bola sepak negara.

Beliau yang melakukan lawatan mengejut ke akadami itu di Gambang semalam mendapati banyak permasalahan dan kelemahan serius yang perlu ditangani.

Katanya, kemudahan latihan dan peralatan yang serba kekurangan dan tidak sesuai sekali gus gagal menepati tujuan akademi itu dibangunkan sebagai pusat latihan dalam melahirkan Mokhtar Dahari dan bakat bola sepak bertaraf antarabangsa.

Berita Harian X