Ahad, 7 Oktober 2018 | 4:06pm
PENGERUSI Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Datuk Hazimah Zainuddin. - Foto Owee Ah Chun
PENGERUSI Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Datuk Hazimah Zainuddin. - Foto Owee Ah Chun

PUNB tumpu bangunkan usahawan belia, wanita

KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) merancang untuk memberi tumpuan yang lebih kepada membangunkan dan membimbing usahawan Bumiputera di pelbagai peringkat, terutamanya belia dan wanita.

Pengerusinya Datuk Hazimah Zainuddin berkata langkah itu akan membantu usahawan baharu untuk kekal, berkembang dan memperluaskan perniagaan mereka, di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Kami tidak boleh sewenang-wenangnya menyerahkan wang dan geran, dan kemudian membiarkan mereka menguruskannya sendiri. Kami akan membantu mereka menggunakan konsep bimbingan dan memantau prestasi mereka untuk memastikan kebolehpercayaan perniagaan.

“Sebagai usahawan, saya telah melalui perjalanan untuk membangunkan perniagaan. Saya dapat melihat usahawan wanita di sini (pada acara ini) mempunyai idea dan keinginan untuk mengembangkan perniagaan mereka, tetapi mereka mungkin tidak mempunyai panduan yang betul dan PUNB boleh membantu mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan acara keusahawanan KAMI#Let’sThrowbackToThePast di sini, semalam.

Ditaja oleh PUNB dan Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia, dan dianjurkan oleh syarikat fesyen dalam talian tempatan, Geruaa Elegance, acara KAMI adalah platform kepada usahawan muda untuk mempamerkan idea dan ciptaan mereka.

Hazimah berkata, PUNB akan terus berusaha ke arah meningkatkan interaksi dengan usahawan muda, sejajar dengan aspirasi kerajaan mengenai pembangunan belia.

Beliau percaya keusahawanan dalam kalangan belia telah mendapat tarikan dan populariti, dan akan memainkan peranan penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan potensi untuk mewujudkan pekerjaan, meningkatkan produktiviti dan daya saing, serta mencapai matlamat masyarakat.

“Apabila berkaitan dengan memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan belia, program seperti KAMI memainkan peranan penting untuk menggalakkan mereka mencapai potensi penuh mereka.

“Program seperti ini akan memupuk keusahawanan dalam kalangan belia dan memberi mereka platform rangkaian, selain melengkapkan mereka dengan asas yang kukuh mengenai perancangan dan pembangunan perniagaan," katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X