Rabu, 10 Oktober 2018 | 5:52pm
Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berucap semasa Persidangan China China di Kompleks Kerjasama Bangunan Kerjasama Asia Tenggara. - Foto Rosela Ismail

Belum ada keputusan Khazanah terbabit kereta nasional ketiga

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd masih belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk terbabit dalam pembuatan kereta nasional ketiga menerusi anak syarikatnya, SilTerra Malaysia Sdn Bhd.

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata ini kerana kerajaan juga masih dalam proses kajian sama ada projek itu berdaya maju untuk diteruskan atau tidak.

“Dari sudut pandangan Khazanah, kami memiliki syarikat swasta yang boleh membekalkan komponen, perkhidmatan atau teknologi (untuk automotif).

“Sehubungan itu, syarikat milik Khazanah ini iaitu SilTerra secara asasnya sudah mengeluarkan dan mahu menghasilkan lebih banyak komponen cip dan pengesan untuk industri automotif. Jadi ia mahu berkembang untuk menjadi lebih komersil,” katanya pada sesi penerangan bertajuk ‘Pelaburan Malaysia ke dalam China’ di Persidangan China, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, adalah tidak menjadi kesalahan buat Khazanah termasuk anak syarikatnya, SilTerra terbabit dalam projek kereta nasional ketiga.

Dalam pada itu, Shahril Ridza berkata, Khazanah melihat peluang pelaburan yang lebih meluas dalam sektor teknologi China.

Katanya, China selaku peneraju global dalam banyak sektor teknologi dan lebih terkehadapan daripada Lembah Silikon terutama dalam sesetengah teknologi berkaitan kewangan dan pengguna.

“Tugas pelabur, bukan hanya Khazanah semata-mata, ialah untuk mengenalpasti teknologi dan trend yang betul. China sudah menjadi sebuah ekonomi yang matang tetapi peluang akan sentiasa wujud di sana,” katanya.

Khazanah adalah antara pelabur terawal dalam kumpulan Alibaba.

Nilai pelaburannya dalam gergasi e-dagang itu dilaporkan berjumlah lebih AS$1 bilion, meningkat empat kali ganda daripada pelaburan awalnya sebanyak AS$250 juta, yang dibuat sebelum penyenaraian kumpulan itu pada tahun 2014.

Shahril Ridza berkata, pasaran China adalah berkali ganda lebih besar daripada Malaysia dari segi permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan.

“Dari segi mempelbagaikan ekonomi, adalah lebih baik untuk meninjau lebih daripada satu pasaran itu. Disebabkan itu kami menggalakkan syarikat pelaburan Khazanah untuk mengadakan dialog dengan syrikat di China dan penyedia teknologi bagi meninjau betul-betul dan faham dari segi apa yang boleh dilakukan bagi mengembangkan kehadiran melampaui tempat asal mereka,” katanya.

Berita Harian X