Isnin, 15 Oktober 2018 | 2:12pm
NORHALIM Yunus (tengah) bergambar bersama peserta yang mengambil bahagian sempena majlis Pelancaran dan Perasmian Hari Demonstrasi dan Pemecutan Boot Camp Robotik MTDC di MTDC Universiti Putra Malaysia (UPM). - Foto NSTP/Zulfadhli Zulkifli

MTDC tumpu pembangunan bidang robotik

SERDANG: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) akan memberi penekanan terhadap pembangunan segmen robotik dalam kalangan syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Norhalim Yunus, berkata bidang robotik mempunyai potensi meluas bukan hanya dari segi penyelidikan dan pembangunan, malah dapat menyuntik nilai komersial dalam produk yang dihasilkan.

Beliau berkata, objektif utama dalam mengembangkan sektor robotik dalam negara ini supaya ia dapat membantu menyelesaikan masalah yang sering terjadi kepada usahawan yang menggunakan sistem tradisional.

“Robotik adalah antara teras utama yang perlu diberi perhatian dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) ini, malah dengan situasi ketika ini, banyak usaha perlu dijalankan.

“Apa yang penting, kita mahu hasilkan produk dalam sektor robotik yang berteknologi tinggi, menepati keperluan dan permintaan serta mampu untuk dimiliki.

“Malah, kita berharap inovasi dan pembangunan yang dilaksanakan dapat memberi manfaat kepada sektor lain seperti pertanian, pendidikan dan cabang ekonomi yang lain,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Hari Demonstrasi dan Boot Camp Pemecutan Robotik (RAP) MTDC di sini, hari ini.

Acara yang berlangsung selama tiga hari itu disertai oleh peserta industri serta institut pengajian tinggi (IPT) tempatan yang akan memfokuskan kepada idea, inovasi dan projek berkaitan robotik.

Peserta juga menerusi beberapa kumpulan berasingan akan diberi latihan, khidmat nasihat dan bimbingan bagi mencapai sasaran individu dengan lebih cepat.

Norhalim berkata, usaha menguasai dan memperluas dalam IR4.0 adalah proses berterusan yang perlu dilakukan oleh semua pihak berkepentingan.

Katanya, syarikat di Malaysia masih berada di antara IR2.0 hingga IR3.0, yang mana negara masih memerlukan inovasi, teknologi dan idea selain kerjasama industri.

“Untuk mencapai status IR4.0 bukan sahaja teknologi canggih, namun ia mestilah bertepatan dengan keperluan industri supaya dapat membantu menyelesaikan permasalahan.

“Ia juga perlulah dapat dilakukan pada kos mampu milik dengan mengambil kira inovasi yang relevan dengan realiti semasa tanpa menghasilkan sesuatu yang sia-sia,” katanya.

Selain itu, MTDC sebelum ini turut meletakkan sasaran untuk meluluskan dana berjumlah RM100 juta pada 2018 bagi meningkatkan aktiviti pengkomersialan teknologi tempatan.

Berita Harian X