Rabu, 17 Oktober 2018 | 12:41pm
GAMBAR fail, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming. - Foto Saddam Yusoff

Kerajaan terima 14 cadangan kereta nasional baharu

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerima 14 cadangan daripada pihak swasta dan individu berhubung kereta nasional baharu.

Timbalan Menterinya, Dr Ong Kian Ming, berkata Dasar Automotif Nasional (NAP) dan hala tuju berkenaan industri automotif negara secara menyeluruh perlu dikenal pasti sebelum melaksanakan kajian impak ekonomi kereta nasional ketiga itu.

“Kita perlu menampakkan hala tuju yang lebih tepat oleh kerana kita belum lagi menilai semua cadangan yang telah kita dapat daripada syarikat dan individu berhubung projek kereta nasional baharu,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) serta soalan susulan daripada Wong Chen (PH-Subang) pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Berhubung soalan itu, beliau berkata projek kenderaan nasional baharu itu akan dipacu sepenuhnya oleh pihak swasta.

“Kerajaan hanya akan membantu dari segi kemudahan dan bantuan tertentu bergantung kepada komitmen syarikat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa industri automotif adalah elemen penting dan strategik dalam sektor perkilangan di Malaysia.

Industri automotif serta sektor yang berkaitan automotif menggunakan lebih 700,000 pekerja dan menyumbang hampir empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Dr Ong berkata, cadangan projek kereta nasional ketiga itu juga dijangka dapat mewujudkan kluster teknologi serta tenaga kerja pakar baharu, terutama dalam bidang kejuruteraan automotif. - BERNAMA

Berita Harian X