Rabu, 17 Oktober 2018 | 2:51pm
Presiden Persatuan Biodiesel Malaysia, U R Unnitha.- Foto Saddam Yusoff
Presiden Persatuan Biodiesel Malaysia, U R Unnitha.- Foto Saddam Yusoff

Pengeluaran, eksport biodiesel Malaysia cecah rekod tertinggi

KUALA LUMPUR: Pengeluaran biodiesel Malaysia dijangka mencecah rekod tertinggi tahun ini dan tahun depan, dengan eksport 2018 berada di landasan untuk meningkat sekali ganda daripada 2017.

Presiden Persatuan Biodiesel Malaysia, U R Unnithan, berkata ini kerana faktor harga minyak yang lebih tinggi, yang mana ia meningkatkan daya tarikan terhadap bahanapi bio.

Malaysia adalah pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, yang mana ia boleh digunakan sebagai bahan mentah untuk membuat komponen bio menjadi biodiesel.

"Saya percaya pengeluaran (biodiesel) Malaysia berkemungkinan mencecah 900,000 tan dan eksport 475,000 tan sekiranya perbezaan harga semasa antara minyak sawit mentah dan minyak gas kekal," katanya kepada Reuters menerusi pesanan ringkas.

"Ini bakal menjadi paras rekod tertinggi (pengeluaran dan eksport) bagi Malaysia," katanya.

Malaysia mengeluarkan 720,410 tan biodiesel pada 2017 dan eksport 235,291 tan, demikian menurut data tempatan.

Malaysia pada Julai lalu berkata, ia akan menaikkan mandat biodiesel kepada 10 peratus tahun depan daripada tujuh peratus ketika ini.

Mandat itu merujuk kepada peratusan kandungan bio yang mesti ada dalam biodiesel.

Sekiranya kerajaan meneruskan rancangan itu dan harga minyak mentah tidak berubah, Malaysia boleh mengeluarkan sehingga 1.2 juta tan biodiesel pada 2019, kata Unnithan.

Premium diesel ke atas minyak sawit melebar dalam beberapa bulan kebelakangan ini di tengah-tengah pengukuhan harga minyak mentah dan pasaran sawit yang semakin lemah.

Premium itu mencecah AS$219 satu tan (RM909.29) pada awal Oktober, perbezaan terbesar dalam empat tahun, dan sekitar AS$178 (RM739.06 ) pada Rabu.

Tinjauan terkini Unnithan itu adalah semakan lebih tinggi kepada anggaran yang dibuat pada April, apabila beliau berkata pengeluaran biodiesel Malaysia dijangka susut kepada 500,000 tan dalam menghadapi persaingan penghantaran dari Indonesia. - Reuters

Berita Harian X