Rabu, 17 Oktober 2018 | 3:28pm
Menteri Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin (kanan ke-4) dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah (kanan) melawat

Caj pencemaran guna beg plastik mulai tahun depan

KUALA LUMPUR: Bermula tahun depan, semua pasar raya, rangkaian kedai dan restoran di seluruh negara akan dikenakan ‘caj pencemaran’ jika masih menggunakan beg plastik konvensional dalam perniagaan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata caj pencemaran itu akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang diberi tempoh selama tiga tahun dari 2019 sehingga 2021 untuk menguatkuasakannya.

Katanya, kerajaan negeri juga diberi kuasa untuk menetukan sendiri berapakah nilai caj pencemaran yang mahu dikenakan selain bila mahu melaksanakannya.

“Kerajaan negeri akan menentukan nilai caj dan bila ia akan dilaksanakan. Kita serahkan kepada kerajaan negeri bila mahu mengumumkan perkara ini kerana setiap negeri mempunyai tahap kesedaran yang berbeza.

“Kutipan caj ini akan dikumpulkan dalam satu tabung dan dana boleh digunakan untuk tujuan seperti kempen kesedaran atau memberi beg beli belah boleh guna semula kepada orang awam. Ia tidak boleh digunakan bagi tujuan lain.

“Selain itu, kita juga berharap dapat meningkatkan bilangan pengeluaran beg plastik boleh terurai pada kadar yang kompetitif bagi kemudahan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 sempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) ke-9 2018 di sini, hari ini.

Bertemakan ‘Ekonomi Hijau dan Industri 4.0: Mencapai Sasaran Pembangunan Mampan’, IGEM 2018 menyasar untuk menarik lebih 30,000 pengunjung dan menjana RM2.5 bilion dalam sesi perniagaan.

Terdahulu, Bee Yin turut membentangkan pelan hala tuju berkenaan dihadapan lebih 100 delegasi yang terdiri daripada peserta industri.

Ia turut dihadiri Puteri Sultan Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mengulas mengenai pelan hala tuju itu, Bee Yin berkata, ia adalah hala tuju yang digariskan oleh kerajaan dalam ke arah mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna.

Ketika ini katanya, beg plastik konvensional menyumbang kepada jumlah sisa pepejal yang tinggi di Malaysia sama ada di lautan atau di mana-mana kawasan.

“Selain pengurangan beg plastik sekali guna ini, pelan hala tuju ini juga mahu merangsangkan pertumbuhan industri hijau yang mana adalah alternatif kepada beg plastik berkenaan.

“Ada dua objektif dalam pelan ini iaitu untuk mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna dan memangkinkan pertumbuhan industri alternatif untuk beg plastik konvensional,” katanya.

Berita Harian X