Khamis, 18 Oktober 2018 | 5:15pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat, Parlimen. - Foto Asyraf Hamzah
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat, Parlimen. - Foto Asyraf Hamzah

RMKe-11 sasar pertumbuhan KDNK 4.5-5.5 peratus setahun

KUALA LUMPUR: Prestasi ekonomi pada peringkat makro disifatkan sebagai baik namun, ketidaksamaan di peringkat negeri dan tahap pendapatan rendah dalam kalangan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) masih berterusan.

Walaupun kadar inflasi secara relatif adalah rendah, kos sara hidup semakin meningkat dan terus membebankan isi rumah B40.

Malah, kadar pengangguran dalam kalangan belia juga adalah tinggi secara relatif walaupun negara mencapai guna tenaga penuh.

Dari segi struktur, kebanyakan industri masih berada pada tahap rendah dalam rantaian nilai pengeluaran, walaupun pelbagai insentif disediakan, seterusnya mengehadkan pewujudan pekerjaan dalam kategori mahir.

Keadaan bertambah buruk berikutan akses mudah kepada pekerja asing berkemahiran rendah menghalang industri beralih kepada intensif modal, seterusnya menjejaskan pertumbuhan upah.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam Laporan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), 2016 - 2020: Keutamaan dan Penekanan Baharu berkata, cabaran yang dihadapi memberi kesan kepada kuasa beli dan kesejahteraan rakyat.

“Keadaan ini bertambah serius dengan pendedahan amalan fiskal tidak teratur, tuduhan rasuah dan isu lain mengenai hutang awam yang menyebabkan defisit kepercayaan terhadap kerajaan terdahulu,” katanya.

Menurutnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disasarkan berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh akhir Rancangan iaitu sekitar 2018- 2020.

“Berdasarkan sasaran pertumbuhan ekonomi itu, pendapatan perkapita dijangka mencecah RM47,720 pada 2020, iaitu di bawah anggaran paras pendapatan minimum negara berpendapatan tinggi.

“Malaysia dijangka melepasi paras ini menjelang 2024,” katanya.

Namun, menurutnya matlamat menjadi negara maju dan inklusif bukan sekadar mencapai status berpendapatan tinggi kerana pencapaian ini perlu diiringi kuasa beli rakyat yang lebih tinggi.

“Pada masa sama, untuk menjadi negara maju, Malaysia perlu turut maju dalam aspek ekonomi, politik, budaya, psikologi, rohani dan sosial,” katanya.

Berita Harian X