Isnin, 22 Oktober 2018 | 2:21pm
PENGERUSI Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF), Tun Musa Hitam berucap pada Forum Keusahawanan Sosial Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan WIEF di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saddam Yusoff
PENGERUSI Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF), Tun Musa Hitam berucap pada Forum Keusahawanan Sosial Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan WIEF di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

Keusahawan sosial rapatkan jurang pendapatan

KUALA LUMPUR: Penekanan khusus bidang keusahawan sosial di Malaysia mampu menjadi instrumen penting bagi merapatkan jurang antara pendapatan isi rumah, pengagihan kekayaan dan isu sosial kumpulan berpendapatan rendah (B40).

Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF), Tun Musa Hitam, berkata ia bukanlah model perniagaan yang baru namun ia adalah kaedah sedang berkembang yang mula diterima secara pesat di seluruh dunia.

Beliau berkata, keusahawan sosial memainkan peranan penting untuk membantu menyelesaikan masalah sosial termasuk pengagihan peluang yang tidak sama rata yang memberi kesan terutamanya kepada golongan B40.

“Keusahawanan sosial mampu mengubah landskap ekonomi dan sekaligus merapatkan jurang pendapatan di antara golongan kaya dan miskin serta penduduk bandar dan luar bandar.

“Tanpa perlu bergantung kepada kerajaan, individu serta badan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama untuk melaksanakan projek yang boleh mendatangkan manfaat kepada masyarakat seperti kumpulan B40.

“Dalam hal ini, apa yang penting adalah mereka yang ingin berusaha membantu serta membangunkan masyarakat dan bukannya mengenai kepentingan peribadi saja,” katanya pada Forum Keusahawanan Sosial Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan WIEF di sini, hari ini.

Forum yang disertai 37 pakar dari 11 negara itu memfokuskan kepada dialog dalam sektor keusahawanan sosial dan kesannya terhadap ekonomi dunia semasa di samping mengukuhkan jaringan antara industri dan universiti.

Hadir sama, Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Isarji Sarudin dan Pengarah AKEPT, Prof Datuk Dr Rohana Yusof.

Musa berkata, apabila sesebuah organisasi melaksanakan keusahawanan sosial, sebahagian keuntungan yang diperoleh mereka akan terus disalurkan kepada masyarakat.

Katanya, usaha itu adalah menerusi pelbagai kaedah seperti pendidikan, perkongsian pengetahuan dan kemahiran sekali gus menjana peluang pekerjaan yang lebih banyak.

“Akhirnya, ia adalah konsep menyeluruh dari segenap aspek yang berupaya menghubungkan perniagaan ke tujuan yang lebih baik untuk negara,” katanya.

Berdasarkan tinjaun dalam talian yang dikendalikan Yayasan Thomson Reuters pada 2016, Malaysia menduduki tempat kesembilan sebagai lokasi terbaik bagi usahawan sosial, tidak jauh dari United Kingdom dan Kanada.

Malah, menurut laporan Keadaan Isi Rumah 2018, “Realiti Berbeza” oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang menunjukkan, masih terdapat jurang dari segi pendapatan dan pekerjaan yang perlu diatasi di negara ini.

Berita Harian X