Rabu, 24 Oktober 2018 | 6:33pm
RIZAL (tengah) bersama Penerbit Kumpulan dan Ketua Pengarang Business Media International, Datuk William Ng (kiri) dan Sharimahton merasmikan SME CEO Forum 2018 di Kuala Lumpur. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

MATRADE sasar lebih ramai usahawan sertai Program e-Trade

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran menarik 2,900 syarikat menyertai Program e-Trade di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II MATRADE, Sharimahton Mat Saleh, berkata setakat Oktober tahun ini sebanyak 1,900 syarikat sudah menyertai Program e-Trade, mewakili sekitar 62 peratus daripada angka sasaran itu.

"Kami percaya ia berada dalam landasan untuk mencapai sasaran RMKe-11 itu dalam membawa masuk syarikat yang mengeksport produk dan perkhidmatan menerusi e-perdagangan," katanya kepada pemberita pada SME CEO Forum 2018 di sini, hari ini.

Sharimahton menjelaskan Program e-Trade adalah insentif MATRADE membantu syarikat tempatan menjual produk dan perkhidmatan yang ditawarkan secara dalam talian dengan bekerjasama dengan penyedia ruang e-dagang terkemuka bagi membolehkannya menembusi ke peringkat global.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp) , Rizal Nainy, berkata kaji selidik yang dijalankan agensi kerajaan itu pada suku ketiga tahun lalu mendapati perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan kurang bersedia dalam menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).

Beliau berkata, hanya satu pertiga, iaitu sekitar 32 peratus PKS bersedia ke arah Industri 4.0

"Kita perlu membuat persediaan kepada mereka yang belum lagi bersedia itu," katanya.

Beliau berkata, kerajaan terutama kementerian dan agensi berkaitan dibawahnya, termasuk SME Corp, sudah menyediakan program untuk golongan itu mengguna pakai teknologi, juga bagaimana mengupayakan mereka dalam meningkatkan lagi pendigitalan dalam perniagaan.

"Dengan semua program ini, kami mahu lihat lebih banyak PKS tempatan mengambil bahagian dalam e-ekonomi dan e-pasaran kerana ia cara terpantas bagi mereka untuk eksport.

Sebagai contoh, katanya Malaysia hanya memiliki sejuta pelanggan digital, manakala 87 juta di ASEAN dan terdapat satu bilion di seluruh dunia.

"Ia adalah perniagaan tanpa sempadan," katanya.

Program eTrade dimulakan pada Oktober 2014 menawarkan bantuan dalam bentuk insentif kewangan bernilai sehingga RM5,000 untuk membiayai sebahagian yuran bagi syarikat yang menyertai sebarang platform e-dagang yang tersenarai seperti Amazon.com, Alibaba.com dan DagangHalal.com.

SME CEO Forum 2018 yang bertemakan Gangguan Inovasi adalah anjuran Business Media International.

Berita Harian X