Jumaat, 26 Oktober 2018 | 4:09pm
Pengerusi FAMA, Ishak Ismail (dua kiri) dan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak (empat kiri) mencuba limau bali di program MyBest Buy @ Fama Point sempena Fama Kelantan Day 2018. - Foto Zunnur Al Shafiq
Pengerusi FAMA, Ishak Ismail (dua kiri) dan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak (empat kiri) mencuba limau bali di program MyBest Buy @ Fama Point sempena Fama Kelantan Day 2018. - Foto Zunnur Al Shafiq

Perkenal insentif galak usahawan ceburi agrikultur

KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengemukakan cadangan supaya kerajaan memperkenalkan insentif bagi menggalakkan usahawan dalam bidang agrikultur menceburkan diri dalam pasaran eksport, menerusi Bajet 2019 pada 2 November ini.

Pengerusinya, Ishak Ismail, berkata industri pertanian adalah aspek paling penting dalam rantaian bekalan makanan.

“Justeru, sudah tiba masanya kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada import makanan yang banyak dengan meningkatkan projek pertanian berimpak tinggi menerusi suntikan galakan kepada petani atau pengusaha ladang sedia ada.

“Projek berimpak tinggi ini juga akan dapat mengurangkan defisit import dagangan produk makanan sekali gus menambah nilai kepada produk makanan tempatan,” katanya ketika ditemui selepas melawat program ‘MyBest Buy’ anjuran FAMA di sini, hari ini.

Ishak berkata, selain insentif untuk menggalakkan eksport, insentif bagi usahawan golongan muda juga harus diberi tumpuan memandangkan pengusaha ladang ketika ini majoritinya golongan sudah berusia.

“Petani, nelayan atau pengusaha produk ladang ketika ini banyak yang sudah berusia. Jadi kena ada inisiatif untuk galakkan anak muda ceburkan diri dalam bidang pertanian,” katanya.

Menyentuh mengenai peranan FAMA, Ishak berharap agensi itu diberi peranan yang lebih meluas dengan tidak terhad kepada produk pertanian seperti buah-buahan dan sayur-sayuran sahaja.

“Kita mahu semua komoditi pertanian, baik datang daripada buah, sayur bahkan ikan, FAMA ada di situ untuk bantu pasarkan,” katanya.

Mengenai jumlah peruntukan, beliau berkata, Bajet 2019 disifatkan sebagai bajet pengorbanan yang mengajak rakyat bersama pemimpin mendepani cabaran menguruskan kewangan negara dengan kekangan yang ada.

Justeru, FAMA berharap kerajaan memperuntukan sebanyak RM54.16 juta pada Bajet 2019, berbanding RM27.08 juta pada bajet sebelumnya, bagi membolehkan agensi ini meneruskan objektif membangunkan usahawan tempatan khususnya Bumiputera.

“Walaupun sumber yang terhad, kita berjaya memaksimumkan peranan FAMA dengan menjalin sinergi dengan agensi lain. Setakat ini, kita berjaya bangunkan infrastruktur lebih 918 cawangan membabitkan gerai kekal, gerai separa kekal dan kenderaan bergerak,” katanya.

Berita Harian X