Isnin, 29 Oktober 2018 | 4:58pm

Buka tanah rizab kerajaan untuk pembinaan rumah mampu milik

KUALA LUMPUR: Portal hartanah, PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru) mengesyorkan supaya kerajaan membenarkan pembukaan tanah rizab kerajaan untuk pembangunan perumahan mampu milik pada pembentangan Bajet 2019.

Dalam satu kenyataan, PropertyGuru berkata, langkah itu dilihat mampu membantu meningkatkan pemilikan kediaman dalam kalangan rakyat tempatan.

“Bagi proses ini semua jualan tanah perlu dijalankan menerusi tender terbuka. Ketika ini, hanya sebahagian kecil daripada projek rumah mampu milik yang dibina di atas tanah kerajaan atau milik kerajaan.

“Mencontohi langkah terbaik dari negara lain dengan menurunkan penetapan kadar penjualan kolektif dan menggalakkan pembangunan semula bangunan lama serta aset kerajaan yang lain untuk perumahan mampu milik.

“Penetapan kadar jualan kolektif yang lebih rendah juga boleh dipertimbangkan untuk memudahkan pembangunan kondominium lama dengan kepadatan rendah sekali gus mengurangkan tekanan harga bagi tanah baru,” katanya.

Selain itu, PropertyGuru mencadangkan supaya lebih banyak organisasi melangkah ke depan dalam memperkasakan rakyat Malaysia dengan kemudahan pemeriksaan kredit yang lebih pantas dan mudah dengan Nisbah Hutang (DSR) dan Kelayakan Amaun Gadaian (kelayakan maksimum pinjaman) yang tepat.

“Walaupun kemudahan kelulusan pinjaman telah diluluskan, masalah mengenai kejelasan kredit berterusan untuk kebanyakan rakyat Malaysia.

“PropertyGuru’s Mortgage PreQualifier (“MPQ”) mencapai seramai 100,000 rakyat Malaysia, namun lebih banyak usaha masih diperlukan, terutama daripada pihak bank dan institusi kewangan lain,” katanya.

Dalam pada itu, PropertyGuru turut menggesa kerajaan menkaji semula kadar faedah untuk pinjaman perumahan dengan pengurangan kadar faedah sehingga 0.5-1.0 peratus bagi pemilik rumah kali pertama yang membeli hartanah mampu milik dalam julat harga tertentu.

“Ini termasuk rumah di bawah skim rumah mampu milik sektor awam seperti Rumah Selangorku, Sistem Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) atau Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA),” katanya.

Cadangan lain adalah menggesa kerajaan mengurangkan kos pendahuluan pembelian rumah termasuk yuran guaman dan duti setem bagi pembelian rumah mampu milik.

Selain itu, PropertyGuru juga mengesyorkan pembinaan rumah separuh siap yang membolehkan pemilik rumah untuk lebih fleksibel dalam mengubah suai penggunaan dan susun atur ruang serta kelengkapan.

“Ini berikutan sebilangan besar rakyat Malaysia apabila membeli rumah baru akan menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian yang menyeluruh. Hal ini akan menyumbang kepada kos pembinaan yang lebih rendah dan penjimatan ini akan diterima dalam harga rumah,” katanya.

Sejak suku pertama 2015, harga hartanah menjunam 11.81 peratus dengan lambakan hartanah segmen mewah di lokasi tertentu.

Berita Harian X