Isnin, 29 Oktober 2018 | 5:10pm
Presiden REHDA, Datuk IR Soam Heng Choon. - Foto Rohanis Shukri

Harga kediaman baharu dijangka turun lima peratus - REHDA

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menjangkakan harga kediaman yang baharu dilancarkan mencatatkan pengurangan minimum sebanyak lima peratus.

Namun, ia bergantung kepada lokasi dan jenis kediaman yang ditawarkan.

Presidennya, Datuk Ir Soam Heng Choon, berkata pihaknya berbesar hati dengan langkah kerajaan untuk mengecualikan bahan asas pembinaan dan semua perkhidmatan pembinaan dari cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dalam usaha untuk mengurangkan harga rumah.

“Di bawah rejim cukai barang dan perkhidmatan (GST), pemaju hartanah tidak dapat menuntut kredit cukai input dan terpaksa menyerap kenaikan kos, tetapi dengan pemansuhan GST dan pengecualian SST, kita harus boleh menikmati beberapa penjimatan dalam kos pembangunan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan penjimatan antara 2.5 peratus dan 5.0 peratus bergantung kepada jenis pembangunan.

“Namun, ia mungkin terpakai untuk projek baharu saja dan bagi projek yang dibangunkan sejak era GST, ia bergantung kepada perbincangan dengan kontraktor dan berada dalam pelbagai peringkat pembangunan,” katanya.

Beliau berkata, REHDA juga berharap semua pihak berkepentingan akan bekerjasama untuk memikirkan cara mengurangkan kos input perniagaan pembangunan hartanah khususnya pematuhan kos bagi membolehkan harga hartanah dapat dikurangkan lagi.

Berita Harian X