Isnin, 29 Oktober 2018 | 9:20pm
KEDAI serbaneka pintar Twenty4 dibuka di Ipoh. - Ihsan FB Twenty4

Kedai serbaneka pintar pertama di Asia Tenggara dibuka di Ipoh

IPOH: Satu lagi sejarah tercipta di bandaraya Ipoh apabila sebuah kedai serbaneka pintar pertama di Asia Tenggara dibuka di sini hari ini.

Pembukaan kedai serbaneka pintar ‘Twenty4’ yang terletak di sebuah pusat membeli belah di sini turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kenny Ng, Twenty4 adalah sebuah kedai serbaneka yang menjual pelbagai produk tempatan dan antarabangsa menggunakan mesin layan diri berteknologi tinggi.

“Kedai ini dibuka 24 jam sehari dan pelanggan boleh membeli pelbagai barangan termasuk makanan serta penjagaan diri dengan menggunakan transaksi tanpa wang atau 'cashless'.

“Pelanggan boleh membeli menggunakan kad debit, kad kredit, Paywave, Samsung Pay, Apple Pay dan pembayaran E-Wallet yang lain. Kita harapkan ia boleh menjadi perintis di Malaysia untuk membeli barangan tanpa transaksi tunai,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pembukaan Twenty4 di sini hari ini.

Kedai terbabit dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Tan Kar Hing.

Mengulas lanjut, Kenny berkata pihaknya bercadang membuka lima lagi cawangan bulan hadapan di Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, Pulai Pinang dan Kedah.

Dalam pada itu, Kar Hing berkata kerajaan negeri akan berkerjasama dengan pihak Twenty4 mengguna pakai teknologi tersebut bagi mempromosikan pelancongan Perak.

“Saya nampak ada ruang kerjasama antara kerajaan negeri dan Twenty4 yang mana mereka mempunyai teknologi manakala kerajaan negeri ada platform, rangkaian dan perancangan masa hadapan.

“Kerjasama yang dimaksudkan adalah melalui mempromosikan pelancongan negeri ini menggunakan panel skrin di Twenty4 ataupun menggunakan teknologi sama untuk cara pembayaran di kebanyakkan kedai di Ipoh bagi memudahkan pelancong,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X